Lebihan dagangan Malaysia melonjak 151.6 peratus tahun ke tahun kepada RM16.82 bilion pada November

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 28 Dis — Lebihan dagangan Malaysia melonjak 151.6 peratus tahun ke tahun kepada RM16.82 bilion pada bulan lepas, lebihan dagangan tertinggi bagi bulan November yang direkodkan setakat ini.

-Advertisement-

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata eksport meningkat 4.3 peratus kepada RM84.43 bilion berbanding bulan yang sama tahun lepas, mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun bagi tiga bulan berturut-turut.

Import susut sembilan peratus kepada RM67.61 bilion manakala jumlah perdagangan merosot dua peratus kepada RM152.04 bilion, katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi tempoh 11 bulan pertama tahun 2020, lebihan dagangan merekodkan pertumbuhan dua digit sebanyak 23.1 peratus kepada RM163.86 bilion berbanding tempoh sama pada 2019.

“Jumlah perdagangan bernilai RM1.606 trilion, berkurangan 4.6 peratus. Eksport bernilai RM885.02 bilion, susut 2.6 peratus manakala import merosot tujuh peratus kepada RM721.16 bilion,” menurut MITI.

Berbanding Oktober 2020, jumlah perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan, masing-masing berkurangan sebanyak 5 peratus, 7.3 peratus, 1.9 peratus dan 24 peratus.

Mengenai prestasi eksport yang lebih baik bagi November, MITI berkata ini disokong oleh pertambahan eksport ke Amerika Syarikat (AS), Singapura, China dan Hong Kong.

Eksport barangan perkilangan menyumbang kepada 88.1 peratus daripada jumlah eksport, berkembang 8.1 peratus tahun ke tahun kepada RM74.34 bilion.

“Pertumbuhan ini disokong oleh kenaikan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) serta produk getah,” katanya.

Katanya eksport produk getah mencatatkan prestasi yang kukuh dengan pertumbuhan 13 bulan berturut-turut.

Eksport yang lebih tinggi turut direkodkan bagi barangan perkilangan lain terutamanya solid-state storage devices (SSD), barangan kayu serta barangan optik dan saintifik.

-Advertisement-

Sementara itu, eksport keluaran pertanian (6.7 peratus syer) meningkat enam peratus kepada RM5.65 bilion berbanding setahun yang lalu, dipacu terutamanya oleh kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Eksport hasil galian (4.9 peratus syer) menguncup 34.6 peratus tahun ke tahun kepada RM4.15 bilion berikutan pengurangan eksport gas asli cecair (LNG), petroleum mentah serta petroleum kondensat dan minyak petroleum lain.

Perdagangan dengan ASEAN pada November 2020 berjumlah RM38.77 bilion atau 25.5 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia, berkurangan 7.2 peratus berbanding November 2019.

Eksport susut 2.2 peratus kepada RM23.46 bilion disebabkan penurunan eksport keluaran petroleum, barangan besi dan keluli serta jentera, kelengkapan dan peralatan.

“Eksport barangan E&E yang meningkat sebanyak 36.6 peratus atau RM2.6 bilion telah mengimbangi penurunan ini, manakala import dari ASEAN susut 13.9 peratus kepada RM15.31 bilion,” katanya.

Eksport ke China merekodkan pertumbuhan dua digit iaitu sebanyak 13.2 peratus kepada RM14.23 bilion disumbangkan terutamanya oleh kenaikan eksport barangan E&E.

MITI berkata eksport ke AS merekodkan pertumbuhan dua digit selama enam bulan berturut-turut, melonjak 24.6 peratus kepada RM9.76 bilion pada November 2020, terutamanya untuk produk getah, barangan E&E dan barangan kayu.

Sementara itu, eksport ke Kesatuan Eropah terus mencatatkan kenaikan bagi tiga bulan berturut-turut, berkembang 7.1 peratus kepada RM6.89 bilion disumbangkan terutamanya oleh kenaikan eksport produk getah.

Katanya eksport ke Jepun naik 3.5 peratus kepada RM5.26 bilion setelah mencatatkan pengurangan tahun ke tahun bagi empat bulan berturut-turut.

“Pertumbuhan ini telah disumbangkan oleh kenaikan eksport produk getah, barangan E&E, petroleum mentah, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta barangan optik dan saintifik,” katanya.

Eksport ke rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) berjumlah RM58.04 bilion, naik 3.6 peratus dengan eksport yang lebih tinggi dicatatkan ke Turki (26.2 peratus), diikuti Pakistan (17.9 peratus) New Zealand (12.4 peratus), Chile (82.2 peratus) dan India (1.1 peratus).

— BERNAMA

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •