Malaysia kenakan duti anti-lambakan sementara ke atas import keluli dari Indonesia, Vietnam

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 28 Dis — Kerajaan telah membuat penentuan awal berkenaan penyiasatan anti-lambakan mengenai import keluli tahan karat gulungan sejuk dalam bentuk gegulung, kepingan atau apa-apa bentuk lain (dagangan subjek) yang berasal atau dieksport dari Indonesia dan Vietnam.

-Advertisement-

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata kerajaan mendapati bahawa terdapat bukti yang mencukupi untuk meneruskan siasatan terhadap pengimportan dagangan subjek dari negara-negara tersebut.

“Kerajaan telah memutuskan untuk mengenakan duti anti-lambakan sementara dalam bentuk jaminan bank yang bersamaan dengan nilai margin lambakan yang telah dikenal pasti dalam penentuan awal.

“Duti anti-lambakan sementara antara 7.73 dan 34.82 peratus akan dikenakan ke atas import dagangan subjek dari negara-negara berkenaan dan ia akan berkuat kuasa bagi tempoh tidak melebihi 120 hari mulai 26 Disember 2020,” menurut MITI dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan telah memulakan penyiasatan pada 28 Julai 2020, berdasarkan petisyen yang difailkan oleh Bahru Stainless Sdn. Bhd (pempetisyen) sebagai industri tempatan tunggal yang mengeluarkan produk serupa.

-Advertisement-

Pempetisyen mendakwa dagangan subjek yang berasal atau dieksport dari negara-negara berkenaan telah diimport ke Malaysia pada harga yang lebih rendah daripada harga yang dijual dalam pasaran domestik mereka dan telah menyebabkan kemudaratan material kepada industri tempatan di Malaysia.

MITI berkata penentuan muktamad akan dibuat tidak lewat daripada 23 April 2021.

Katanya pihak berkepentingan seperti pengimport, pengeluar atau/dan pengeksport asing dan persatuan yang berkaitan dengan penyiasatan boleh mendapatkan salinan versi tidak sulit laporan mengenai penentuan awal dengan membuat permohonan bertulis kepada MITI.

Permohonan boleh dihantar kepada Pengarah, Seksyen Amalan Perdagangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Aras 9, Menara MITI No. 7, Jalan Sultan Haji Ahmad Shah 50480 Kuala Lumpur, Malaysia.

— BERNAMA

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •