Fokus pada ekonomi untuk menang hati, minda rakyat, kata penganalisis

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Ahli politik perlu bertenang dan fokus pada isu pendapatan serta kos sara hidup rakyat daripada terus bertelagah, kata seorang perunding strategi politik.

-Advertisement-

Syed Arabi Idid berkata, rakyat khuatir mengenai ketidaktentuan ekonomi baharu pada 2021. “Mereka bimbang tentang pekerjaan, kos sara hidup dan pelaburan asing. Mereka mahukan kestabilan ekonomi. Kestabilan ekonomi hanya boleh dicapai jika ada kestabilan politik,” katanya kepada FMT .

Wajar bagi ahli politik untuk tetap bertenang, katanya.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan bekas menteri Zaid Ibrahim, ahli politik jangan bersikap “super hipokrit”, menyatakan banyak parti politik memanipulasi rakyat demi kekal berkuasa atau memenangi pilihan raya.

Zaid berkata, ramai pemimpin hanya fokus untuk membuat gabungan supaya dapat membentuk kerajaan, bukan untuk berkhidmat kepada rakyat.

Syed Arabi berkata, rakyat mungkin akan melihat ahli politik dari segi negatif jika mereka terus mewujudkan ketidakstabilan politik.

Dengan majoriti tipis di Dewan Rakyat, gabungan kerajaan berusaha untuk mengekalkan kuasa dengan apa saja cara, manakala pembangkang berharap dapat mengambil alih Putrajaya, kata Syed Arabi, sambil menambah ini kali pertama di Malaysia di mana gabungan dibentuk selepas pilihan raya umum.

Beliau berkata, selepas kejatuhan Pakatan Harapan (PH) pada akhir Februari, PPBM berusaha menubuhkan sebuah gabungan untuk mentadbir negara tetapi ketidakstabilan politik berterusan kerana majoriti yang tipis.

-Advertisement-

Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel berkata, pengajaran pertama dipelajari rakyat tahun ini ialah berhenti menaruh kepercayaan kepada ahli politik.

“Kedua ialah rakyat mesti menuntut semula kuasa dan hak mereka dijamin dan wang pembayar cukai tidak dicuri,” katanya kepada FMT.

Satu-satunya cara, katanya, mendesak mandat baharu dengan kriteria yang jelas dan ini hanya boleh dilakukan oleh orang ramai dan pada pilihan raya.

Beliau berkata, tampak ada kekurangan visi dan kepemimpinan untuk memimpin negara mengharungi pandemik COVID-19 dan untuk membawa negara keluar daripada krisis ekonomi.

Aktivis Haris Ibrahim berkata, rakyat meletakkan harapan yang besar kepada PH selepas pilihan raya umum pada 2018. Boleh difahami jika mereka tidak dapat memenuhi janji seperti menghapuskan tol dengan segera “tetapi mereka boleh memansuhkan undang-undang seperti Akta Hasutan”.

Beliau berkata, Perikatan Nasional (PN) masih mempunyai jalan yang panjang untuk mendapatkan kepercayaan rakyat.

Katanya, Muhyiddin Yassin pada 2018 berulang kali meminta rakyat untuk tidak mempercayai PAS dan UMNO. “Dengan siapa beliau (Muhyiddin) bersama sekarang?” kata Haris.

Muhyiddin, ketika itu dalam PH, kini mengetuai kerajaan PN dengan PAS dan UMNO sebagai sekutu PPBM. -FMT

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •