Penduduk Felda Kerteh 4 bimbang ternakan diserang harimau

Estimate Reading Time: < 1 minute

DUNGUN, 29 Dis — Serangan harimau yang semakin kerap di ladang Felda Kerteh 4 sejak akhir-akhir ini menyebabkan 30 peneroka yang menternak lembu di kawasan itu mengalami kerugian lebih RM150,000 sepanjang tahun ini.

-Advertisement-

Pengurus Felda Kerteh 4, Mohd Azimi Hassan berkata sejak Januari lepas, sebanyak 35 ekor lembu mati atau hilang, dipercayai akibat daripada serangan haiwan itu.

“Serangan harimau ini sudah bermula pada 2018, namun terhenti agak lama sebelum ia kembali menyerang haiwan ternakan Januari lepas dan serangan menjadi semakin kerap sejak awal bulan ini.

“Terbaharu pada Ahad lepas, lima penternak kerugian hampir RM15,000 selepas lima ekor lembu mereka hilang dipercayai akibat serangan harimau itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

-Advertisement-

Seorang penternak, Che Man Abdullah, 68, berkata dia terjumpa bekas tapak kaki harimau ketika mencari seekor lembunya yang tidak pulang ke kandang Ahad lepas.

“Memang risau sangat. Bukan pasal lembu sahaja tetapi ini melibatkan nyawa kami. Jika dahulu serangan berlaku di kaki hutan sahaja tetapi sekarang harimau sudah berani serang ke kawasan berdekatan ladang dan kami memang selalu ada di sekitar kawasan ladang ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusuf ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya telah melakukan pemantauan secara berterusan di lokasi kejadian sejak menerima aduan pada 24 Nov lepas.

“Dua perangkap harimau dan kamera telah dipasang bagi memantau kehadiran dan pergerakan haiwan itu. Kita juga telah berbincang dengan penternak agar mengurung lembu mereka, kerana jika ia masih dibiarkan bebas, usaha menangkap harimau akan menjadi sukar,” katanya.

Beliau juga menasihati orang awam supaya tidak mengambil tindakan sendiri untuk membunuh atau menghalau harimau itu, sebaliknya mereka perlu menyalurkan maklumat ke talian hotline 1800-88-5151 jika terserempak dengan hidupan liar berkenaan.– BERNAMA

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •