Bekalan air Klang, Shah Alam dijangka pulih tengah hari ini

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Air Selangor mengumum bahawa bekalan air di daerah Klang dan Shah Alam yang terjejas akibat paip utama pecah, semalam, dijangka pulih sepenuhnya menjelang tengah hari ini.

-Advertisement-

Dalam kenyataan, Air Selangor berkata setakat jam 7 pagi, kesemua 72 kawasan di daerah Petaling yang terjejas akibat kejadian di Seksyen 15, Shah Alam, semalam, sudah menerima bekalan air sepenuhnya.

“Selain itu, 84% dari 58 kawasan di daerah Klang dan Shah Alam turut pulih bekalan air, manakala yang selebihnya akan mendapat bekalan secara berperingkat dengan keadaan pulih sepenuhnya menjelang tengah hari,” kata ketua komunikasi korporat Elina Baseri dalam kenyataan.

Sembilan kawasan di daerah Klang dan Shah Alam yang masih belum menerima bekalan air adalah Jalan Raja Lumu, Jalan Kem, Kampung Kastam, Kampung Pendamar, Pandamaran, Persiaran Raja Muda Musa, Taman Berembang, Taman Pendamar Indah dan Taman Suria Pendamar.

Semalam, Air Selangor mengumumkan gangguan bekalan air di daerah Klang, Shah Alam dan Petaling mulai 1 tengah hari kerana paip utama pecah.

-Advertisement-

Kejadian paip pecah itu dikesan di Persiaran Tengku Ampuan di Seksyen 15, Shah Alam.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Air Selangor turut menyatakan masih menjalankan kerja pembaikan terhadap satu lagi paip yang rosak akibat “tanah runtuh di Damansara Utama” semalam.

“Kerja pembaikan ini dijangka mengambil masa 30 jam dan akan siap pada jam 6 pag, 31 Dis. Pengguna akan mendapat bekalan air secara berperingkat sebaik selesai,” katanya.

Menurut kenyataan itu, bekalan air dijangka pulih sepenuhnya di kawasan terbabit pada jam 6 petang, 1 Jan.

Kejadian berkenaan mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual ke 43 kawasan di Petaling serta 20 di Kuala Lumpur, termasuk Taman Tun Dr Ismail, Kelana Jaya, Petaling Jaya, Mutiara Damansara, Ara Damansara, Damansara Perdana dan Kota Damansara.- FMT

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •