Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang buka tawaran jadikan feri tarikan pelancong

Estimate Reading Time: < 1 minute

GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) akan membuka Tawaran Permohonan Cadangan (RFP) kepada mereka yang berminat mengubah suai feri sedia ada untuk dijadikan produk pelancongan.

-Advertisement-

Pengerusinya Tan Teik Cheng berkata, bagi mengekalkan nilai sejarah serta elemen ikonik negeri itu, dua buah feri sedia ada akan diubah suai sebagai restoran terapung, muzium atau pelayaran pelancongan.

“Ia bertujuan memperingati sumbangan feri Pulau Pinang kepada identiti kebudayaan dan warisan negeri ini.

“Oleh yang demikian, SPPP akan membuka tawaran RFP kepada orang ramai yang berminat untuk mengambil peluang terhadap tawaran itu nanti,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

-Advertisement-

Selain itu, Tan turut memberi jaminan bahawa perkhidmatan feri tidak akan terputus dan tambang feri sedia ada akan dikekalkan walaupun bermula 1 Jan depan pengguna akan mengunakan perkhidmatan bot laju baharu.

Katanya, pengguna akan menikmati perkhidmatan bot laju baharu secara percuma selama dua minggu.

“Mulai 1 Jan perkhidmatan feri sedia ada hanya boleh digunakan oleh penunggang basikal dan motosikal, manakala bot laju akan digunakan untuk membawa penumpang individu,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan menyatakan fasa pemodenan perkhidmatan feri akan dimulakan dengan memperkenalkan tiga bas air (untuk penumpang pejalan kaki) bermula 1 Jan, diikuti dengan dua pengangkut kenderaan yang hanya membawa kenderaan dua roda (motosikal dan basikal) yang akan beroperasi mulai 2022.-FMT

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •