100 terkorban angkara serangan di dua kampung, barat Nigeria

Estimate Reading Time: < 1 minute

NIAMEY: Kira-kira 100 orang dibunuh oleh pengganas, dalam insiden serangan di dua kawasan perkampungan dekat barat Niger.

-Advertisement-

Kejadian itu ialah yang terbaru dalam siri pembunuhan beramai-ramai, didalangi gerakan jihad di wilayah Tillaberi.

Serangan pertama di kawasan perkampungan Tchoma Bangou dan Zaroumadareye, Sabtu lalu tercetus sebaik keputusan pusingan pertama pemilihan presiden diumumkan.

Datuk Bandar Tondikiwindi, Almou Hassane, berkata pengganas gerakan jihad itu menaiki kira-kira 100 motosikal ketika melakukan serangan.

“Setakat ini, 70 dilaporkan terkorban di Tchoma Bangou dan 30 kematian di Zaroumadareye.

“Insiden sama turut mencederakan 75 orang dan segelintir daripadanya sudah dipindahkan ke Niamey dan Ouallam untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya sebaik melawat lokasi kejadian.

-Advertisement-

Mengulas detik serangan itu, Almou berkata penyerang berpecah kepada dua kumpulan untuk menggempur dua kawasan perkampungan yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari satu sama lain.

Perdana Menteri Niger, Brigi Rafini, semalam mengetuai delegasi melawat lokasi kejadian serangan, manakala Presiden, Mahamadou Issoufou dijangka mempengerusikan mesyuarat tergempar majlis keselamatan, hari ini.

Media sebelum ini memetik pegawai kanan serantau yang berkata, serangan tercetus sekitar jam 11 pagi waktu tempatan, iaitu serentak ketika keputusan pusingan pertama pemilihan presiden dan perundangan diumumkan.

Keputusan pemilihan itu menyaksikan calon parti pemerintah dan bekas menteri, Mohamed Bazoum, memenangi pusingan pertama pengundian Presiden Niger, yang diadakan minggu lalu.

Ditemui media, Bazoum bertekad untuk merintis usaha sedaya upaya untuk memerangi gerakan jihad yang semakin meruncing di beberapa wilayah di negara berkenaan.

Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada waris keluarga mangsa yang terkesan dengan insiden serangan itu, selain menyifatkan tindakan keganasan sedemikian ialah ancaman utama kepada perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Terdahulu, Mahamadou yang berduka cita dengan serangan itu mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan sedemikian, sambil menyifatkan ia sebagai pengecut dan tidak bertamadun. – AFP

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •