60 daripada 139 runtuhan dikesan halang laluan ke Bukit Fraser

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Sebanyak 139 runtuhan dikesan di sepanjang laluan naik dan turun Bukit Fraser dengan 60 daripadanya dilaporkan menghalang laluan, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Anuar Nasarah.

-Advertisement-

Beliau berkata, ia dikesan selepas Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) menggerakkan “response team” ke tempat berlaku tanah runtuh, khususnya di tempat peranginan, Bukit Fraser dan Jalan Lama Raub-Bentong untuk membuat penilaian risiko di lapangan.

“Sementara itu, Jalan Lama Raub-Bentong dilaporkan masih ditutup akibat tanah runtuh dan ’response team’ JMG dalam tindakan memasuki kawasan bagi membuat penilaian risiko di lapangan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Selain itu, katanya, JMG melakukan pemantauan tiga kali setahun di cerun kritikal yang memerlukan tindakan segera, khususnya di Cameron Highlands.

“Tiga puluh satu cerun kritikal dibuat mitigasi oleh JKR serta Jabatan Pengairan dan Saliran dengan peruntukan RM31.74 juta,” katanya sambil menambah kerja mitigasi masih diteruskan.

Menyentuh perancangan tahun ini, beliau berkata, JMG bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya untuk menjalankan pemetaan kerentanan risiko tanah runtuh dengan peruntukan sebanyak RM758,000 bagi menyelesaikan isu tanah runtuh di Bukit Antarabangsa.

-Advertisement-

Katanya, orang ramai yang berada di kawasan berisiko seperti kawasan pernah mengalami tanah runtuh perlu peka dengan keadaan sekeliling, sekiranya berlaku runtuhan atau pergerakan kecil cerun tanah, retakan atau rekahan pada dinding, tembok, tiang rumah, kesan bonggolan, mendapan jalan dan pokok yang berterusan condong.

“Sekiranya perkara itu berlaku, orang ramai boleh menghubungi pihak bekuasa untuk menyalurkan maklumat atau mendapatkan bantuan di 05-540 6000 atau 019-389 4757. Kementerian sentiasa bersedia memberi khidmat kepakaran teknikal bagi penilaian ancaman tanah runtuh.”

Beliau berkata, cuaca buruk dan hujan berterusan ketika musim monsun timur laut di kebanyakan negeri mampu mendatangkan risiko bencana tanah runtuh di kawasan berbukit tinggi, bercerun dan laluan dengan sistem perparitan tidak diselenggara secara baik.

Katanya, tanah runtuh boleh berlaku secara mendadak atau berperingkat dalam skala kecil atau besar.

“Hasil kajian JMG melalui Projek Pemetaan Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC), faktor geologi, sudut cerun, kawasan tadahan dan saliran, kerja pemotongan lereng bukit tidak terkawal serta pembersihan hutan atau ladang dikenal pasti sebagai kawasan terdedah kepada risiko bencana tanah runtuh.”

-FMT

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •