2 bangkai penyu ditemui di Port Dickson

Estimate Reading Time: < 1 minute

PORT DICKSON: Dua ekor penyu spesies agar dan karah berusia lebih 20 tahun ditemui mati terdampar di perairan Port Dickson dalam tempoh kurang dua minggu.

-Advertisement-

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Halimi Abu Hanip berkata, penyu agar dianggarkan seberat 120 kilogram (kg) ditemui di Pantai Teluk Kemang, manakala penyu karah seberat 69 kg ditemui di Batu 10, dekat sini.

“Bangkai pertama dijumpai 27 Disember lalu, manakala seekor lagi pada Selasa lalu. Keadaan bangkai penyu ini sudah reput teruk dan penyebab kematian tidak dapat dipastikan.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang kesan cedera pada kedua-dua penyu itu dan kita tidak pasti punca kematiannya sama ada sakit tua atau khianat,” katanya ketika dihubungi tadi.

-Advertisement-

Beliau berkata, reptilia marin terancam itu wujud dalam populasi yang sedikit di Negeri Sembilan dan penting untuk dipelihara.

Katanya, orang ramai diingatkan supaya lebih prihatin dengan tidak mengganggu penyu terutama jika menemuinya sedang naik ke pantai untuk bertelur termasuk tidak mengambil telurnya.

“Individu yang disabitkan kesalahan dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya di bawah Kaedah-Kaedah Perikanan (Penyu dan Telur Penyu) 1976 Negeri Sembilan dan Akta Perikanan 1985.

“Kita sangat berharap orang ramai yang menjumpai penyu mati atau cedera untuk menghubungi talian 06-6472050 atau 06-6621089 atau menghantar mesej di laman rasmi Facebook Jabatan Perikanan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut,” katanya.

-BH

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •