TNB tidak lepas air di dua empangan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUANTAN: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan orang ramai supaya tidak terus berkongsi hantaran di media sosial pihak tidak bertanggungjawab, yang mendakwa, berlaku pelepasan air Empangan Sultan Abu Bakar, Cameron Highlands dan Empangan Susu, Ulu Jelai hingga menyebabkan kejadian banjir besar.

-Advertisement-

Pengurus Besar TNB Negeri Pahang, Datuk Baderul Sham Saad, berkata pihaknya ingin menegaskan paras air di dua empangan berkenaan berada pada aras selamat dan tiada keperluan pelepasan air buat masa ini.

Katanya, TNB sentiasa memantau keadaan semasa paras air di kedua-dua empangan itu, seterusnya

akan memaklumkan kepada pihak berkuasa sebarang tindakan yang akan diambil bagi keselamatan penduduk setempat.

“Saya nasihatkan kepada pengguna supaya sentiasa merujuk kepada pihak TNB bagi memastikan kesahihan sebarang berita yang tular di medial sosial dan tidak berkongsi hantaran yang mendakwa, pelepasan air di dua empangan itu menyebabkan banjir di beberapa daerah di negeri ini,” katanya, dihubungi di sini hari ini.

-Advertisement-

Beliau menegaskan, paras air di empangan hidroelektrik TNB di Cameron Highlands, berada di bawah paras limpahan dan tiada pelepasan air berlaku seperti yang didakwa dalam hantaran media sosial itu.

Baderul Sham berkata, orang ramai dinasihatkan supaya menyemak terlebih dahulu kesahihan hantaran di media sosial sebelum membuat perkongsian bagi mengelakkan kegusaran masyarakat.

“Bagi sebarang maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan bekalan elektrik, orang ramai boleh menghubungi talian TNB CareLine di 15454 atau Facebook TNB CareLine,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial mendakwa berlaku pelepasan air Empangan Sultan Abu Bakar, Cameron Highlands dan Empangan Susu, Ulu Jelai hingga menyebabkan kejadian banjir besar di beberapa daerah.

-BH

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •