Abu Bakar Bashir dibebaskan hari ini

Estimate Reading Time: < 1 minute

JAKARTA: Ulama radikal Indonesia, Abu Bakar Bashir, yang dikaitkan dengan insiden maut pengeboman di Bali pada 2002, dibebaskan dari penjara, hari ini.

-Advertisement-

Abu Bakar, 82, dipenjarakan pada 2011 selepas didapati bersalah terbabit dalam kem latihan militan di wilayah Aceh.

Hukuman selama 15 tahun dihadapi Abu Bakar bagaimanapun dipendekkan tempohnya berikutan berkelakuan baik dan tahap kesihatan beliau tidak mengizinkan.

Abu Bakar dianggap sebagai pemimpin agama dalam Jemaah Islamiyah (JI), rangkaian ekstremis yang dikaitkan dengan Al-Qaeda, iaitu antara yang dituduh mengatur pengeboman di Bali yang membunuh lebih 200 mangsa, kebanyakannya warga Australia.

Sebelum dibebaskan, anaknya, Abdul Rochim Bashir memberitahu agensi berita CNA bahawa mereka tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mengadakan sambutan selepas dibebaskan dari penjara Gunung Sindur di wilayah Jawa Barat.

-Advertisement-

“Tiada sebarang perancangan, kami hanya ingin membawanya pulang ke rumah, itu sahaja,” kata Abdul Rochim yang juga seorang ulama.

Abu Bakar dijangka akan menghabiskan sisa hidupnya di sekolah asrama, Islam Al Mukmin di Ngruki, Jawa Tengah bersama anaknya.

Beliau menubuhkan sekolah itu pada 1972 dan dituduh mempromosikan idea ekstemis ketika pentadbiran Suharto, yang disifatkan tidak sesuai dengan ideologi negara itu.

Sebelum ini, media melaporkan hukuman penjara selama 15 tahun dihadapi pemimpin tertinggi JI itu dikurangkan selama 55 bulan.

Agensi berita Antara yang memetik Ketua Kementerian Hukum dan Hak Asasi Manusia Jawa Barat, Imam Suyudi berkata, pembebasan Abu Bakar adalah menepati segala prosedur yang ditetapkan pihak berkuasa.

– AGENSI

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •