Ladang kelapa sawit beroperasi seperti biasa sekiranya berlaku PKP 2.0

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) memberi jaminan bahawa ladang kelapa sawit akan diberikan kebenaran untuk beroperasi seperti biasa sekiranya kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Menteri berkenaan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata bahawa ini penting bagi memastikan pengeluaran minyak sawit tidak tersekat dan negara dapat meneruskan aktiviti eksport komoditi tersebut ke seluruh dunia.

“Kita telah melalui fasa PKP 1.0 pada Mac 2020 dan hari ini sudah hampir tempoh setahun kita melaluinya, sudah pasti kita telah belajar cara yang terbaik untuk kita uruskan ladang dengan lebih berhemah.

“Selain daripada itu, pekerja di ladang kelapa sawit sentiasa mengamalkan penjarakan sosial dan pekerjaan mereka memerlukan mereka berada pada jarak yang jauh jadi sudah pasti penularan wabak COVID-19 dapat dielakkan,” katanya pada sidang media sempena Kajian dan Tinjauan Ekonomi Kelapa Sawit (R&O) hari ini.

 

-Advertisement-

Difahamkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka membuat pengumuman khas berkenaan PKP pada pukul 6 petang ini  menerusi siaran langsung di Facebook beliau.

Mohd Khairuddin dalam pada itu berkata kementeriannya optimis prestasi perdagangan minyak sawit akan lebih baik pada tahun ini berikutan ramalan positif ekonomi negara selain produktiviti yang dijangka meningkat berikutan amalan pertanian baik yang menjadi asas kepada Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO).

Katanya, sehingga 31 Dis, 2020, seluas 5.2 juta hektar atau 88.25 peratus daripada 5.9 juta hektar kawasan yang ditanam kelapa sawit di Malaysia telah memperoleh sijil MSPO.

-Advertisement-

Sejumlah 434 kilang atau 96.02 peratus daripada 452 kilang kelapa sawit juga telah mendapat sijil MSPO.

Sementara itu, katanya, Malaysia sedang dalam proses menyiapkan dokumen untuk memfailkan tindakan undang-undang Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) terhadap Kesatuan Eropah susulan kempen anti-minyak sawit oleh blok berkenaan.

Mohd Khairuddin berkata tindakan itu diambil menerusi Mekanisme Penyelesaian Pertikaian (DSM) di bawah WTO.

Selain Malaysia, Indonesia turut memfailkan kes berhubung diskriminasi minyak sawit kepada WTO.

– BERNAMA

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •