Solat jumaat, fardu ditangguh, akad nikah secara sidang video di Selangor

Estimate Reading Time: < 1 minute

SHAH ALAM: Solat Jumaat dan solat fardu berjemaah di masjid serta surau di Selangor ditangguhkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari mulai hari ini.

-Advertisement-

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata solat Jumaat digantikan dengan solat Zohor di rumah masing-masing sepanjang tempoh PKP.

Bagaimanapun katanya, hanya lima petugas masjid dan surau yang mendapat kebenaran menjalankan solat Jumaat dibenarkan menunaikan solat tersebut serta solat fardu secara berjemaah pada setiap waktu.

Majlis akad nikah pula katanya, akan dijalankan secara sidang video hanya untuk pasangan yang telah mendapat kebenaran berkahwin dan tarikh janji temu akad nikah oleh Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) atau di masjid pengurusan.

-Advertisement-

“Pelaksanaan akad nikah secara sidang video akan dilakukan pendaftar yang berada di PAID manakala pengantin, wali dan dua saksi berada di rumah. Pegawai Tadbir Agama setiap daerah akan menetapkan pelaksanaan majlis akad nikah berdasarkan janji temu yang telah diatur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Shahzihan berkata perkhidmatan utama JAIS khususnya melibatkan urusan nikah, cerai dan rujuk dilakukan secara dalam talian selain 10 kaunter talian telefon untuk konsultasi dan urusan janji temu dibuka.

Menurutnya, untuk sebarang pertanyaan, pelanggan boleh menghubungi talian 03-5514 3600 atau 03-5514 3400 sepanjang waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat selain platform e-mel di info@jais.gov.my.

-FMT

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •