‘Beri kami masa untuk kaji’

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sedang berunding dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membenarkan rumah produksi meneruskan penggambaran di zon Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

-Advertisement-

Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid, berkata pihaknya berharap syarikat produksi yang menghentikan penggambaran di zon PKP, memberi masa kepada kerajaan untuk memberi pertimbangan atas permintaan diutarakan.

-Advertisement-

Memahami keluhan pembikin drama dan telefilem, Zakaria berkata, rumah produksi perlu terlebih dahulu akur arahan kerajaan atas nasihat MKN.

“Buat masa ini, saya memohon kepada syarikat produksi patuh dahulu apa yang sudah ditetapkan kerajaan.

FINAS berpuas hati kru produksi patuh SOP dan sehingga kini belum ada kes penularan COVID-19 dilaporkan di lokasi penggambaran. Gambar Hiasan. Foto NSTP/Saifullizan Tamadi
FINAS berpuas hati kru produksi patuh SOP dan sehingga kini belum ada kes penularan COVID-19 dilaporkan di lokasi penggambaran. Gambar Hiasan. Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

“FINAS sedang berusaha berunding. Kita faham keluhan warga seni yang baru hendak bernafas semula selepas pendapatan terjejas akibat penularan pandemik COVID-19,” katanya kepada BH Online.

Isnin lalu, kerajaan mengumumkan enam negeri diletakkan dalam PKP bagi tempoh 14 hari iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Selain itu, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi tempoh sama dikenakan terhadap enam negeri lain iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Dua negeri lagi iaitu Perlis dan Sarawak akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi tempoh sama.

Zakaria mengaku pengumuman kerajaan dibuat serta-merta mengambilkira perkembangan yang berlaku sekarang.

Malah, FINAS tidak sempat berbuat apa-apa bagi membantu penggiat seni sebaik pengumuman dibuat.

Mengenai permintaan rumah produksi agar mereka boleh merentas daerah ke zon PKPB dan PKPP untuk menyambung penggambaran, Zakaria berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada pihak berkuasa.

“Jika syarikat produksi mahu menyambung penggambaran di zon PKPB, misalnya, mereka perlu mendapatkan kebenaran polis.

“FINAS tidak mengeluarkan permit untuk tujuan itu. Semuanya atas budi bicara pihak berkuasa,” katanya.

Zakaria berkata, sejak penularan COVID-19, belum ada kluster daripada kalangan warga produksi dilaporkan.

Sejak kerajaan memberikan lampu hijau kepada rumah produksi beroperasi, aktiviti penggambaran dilakukan secara berhemah mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Sehubungan itu, Zakaria berharap rekod baik itu diteruskan hingga mampu ‘melembutkan’ kerajaan dan MKN untuk memberikan kelonggaran kepada syarikat produksi melakukan penggambaran di zon PKP.

“FINAS tidak nafikan setakat ini, rekod syarikat produksi sangat baik. Semua kru dan pelakon mematuhi SOP ditetapkan kerajaan.

“Kita sempat meninjau beberapa lokasi penggambaran dan melihat SOP dipatuhi cemerlang.

“Kita beri penghargaan kepada pekerja industri atas pematuhan dan kecemerlangan mereka.

“Jadi, kita harap kerajaan dan MKN dapat memberi pertimbangan untuk syarikat produksi menyambung penggambaran di zon PKP,” katanya.

Zakaria berkata, FINAS masih memantau aktiviti penggambaran bagi memastikan syarikat produksi menjaga penjarakan, menyediakan pelitup muka dan alat sanitasi serta memastikan jumlah kru yang memadai di lokasi.

Mengenai peruntukan RM5,000 yang diberikan kepada rumah produksi bagi tujuan membiayai kos saringan COVID-19, Zakaria berkata, syarikat terbabit masih boleh membuat permohonan.

“Namun, hanya syarikat produksi yang menjalani penggambaran di zon PKPB dan PKPP layak memohon,” katanya.

Zakaria berkata, FINAS simpati dengan nasib menimpa pekerja seni terutama kru yang bergantung pendapatan kepada kerja produksi.

“Ada kerja, baru ada gaji. Kita berharap PKP tidak disambung seperti sebelum ini yang berlarutan hingga tiga bulan.

“Kita tidak mahu melihat tenaga produksi melalui situasi seperti tahun lalu,” katanya.

-BH

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •