BNM lantik dua anggota luar MPC

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelantikan Nor Zahidi Alias dan pelantikan semula Datuk Dr Gan Wee Beng sebagai anggota luar Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM untuk tempoh dua tahun, masing-masing berkuatkuasa pada 1 Jan dan 1 April 2021.

Dalam kenyataan hari ini, BNM berkata di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009, MPC  bertanggungjawab merumuskan dasar monetari dan dasar-dasar untuk mengendalikan operasi dasar monetari.

“Pelantikan mereka akan terus meningkatkan kepakaran dan pengalaman bersama berkaitan tanggung jawab dan fungsi MPC,” katanya.

-Advertisement-

-Advertisement-

Nor Zahidi ialah mantan ketua ekonomi di Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC) dan berkelulusan Sarjana dalam bidang Dasar Ekonomi dan Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi daripada Boston University.

Sebelum bertugas di MARC, beliau merupakan Ketua Penyelidik dan Ketua Ekonomi di Alliance Merchant Bank dan Ketua Penyelidik di MCIS Zurich Insurance.

Sementara itu, Gan yang merupakan anggota MPC sejak 1 April 2019 ketika ini adalah ahli lembaga Perbadanan Insurans Deposit Malaysia dan sebelum ini adalah ahli lembaga di Kumpulan Wang Persaraan.

Beliau juga sebelum ini merupakan Penasihat Kanan di Jabatan Ekonomi Pihak Penguasa Kewangan Singapura dan perunding kepada Bank Dunia dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa.

Menurut BNM, dengan dua pelantikan terkini itu, MPC akan dianggotai lapan ahli termasuk Gabenor Nor Shamsiah Yunus, Timbalan Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour, Timbalan Gabenor Jessica Chew Cheng Lian, Timbalan Gabenor Marzunisham Omar, Penolong Gabenor Norzila Abdul Aziz dan Penolong Gabenor Dr Norhana Endut.

— BERNAMA

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •