Luaskan pengajaran, pembelajaran TV, kata badan pemikir

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menyeru kerajaan memanfaatkan program TV pendidikan dengan lebih baik sebagai cara mendekati pelajar di rumah bagi memastikan mereka yang tidak mempunyai akses internet mencukupi tidak keciciran.

-Advertisement-

Dalam satu kenyataan, mereka berkata dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sekali lagi memaksa ramai pelajar belajar dari rumah, kerajaan perlu mencari jalan untuk merangkumkan mata pelajaran utama bagi semua peringkat umur melalui TV, kerana bergantung kepada pembelajaran dalam talian saja tidak mencukupi.

Wan Ya Shin, pengurus penyelidikan Unit Dasar Sosial IDEAS, berkata sekatan sebelum ini menunjukkan pembelajaran dalam talian cukup mencabar bagi pelajar, kerana ramai berdepan masalah kekurangan peranti, sambungan internet, atau pengawasan ibu bapa yang diperlukan untuk pembelajaran yang berkesan.

“Pembelajaran dalam talian yang berterusan, tanpa menangani isu-isu yang disebutkan ini akan menghasilkan satu ‘generasi yang hilang’ dan tahap pendidikan yang tidak setara.

“Perluasan pengajaran di bilik darjah melalui televisyen perlu menyeluruh untuk merangkumi semua mata pelajaran utama bagi semua peringkat, dari sekolah rendah hingga sekolah menengah, untuk disiarkan di televisyen sepanjang hari demi memastikan kanak-kanak ini tidak ketinggalan,” katanya.

-Advertisement-

Menurut Kajian Penggunaan dan Akses ICT 2018, 98.6% isi rumah di Malaysia mempunyai akses kepada TV, berbanding 87% dengan akses internet. Bagaimanapun, tinjauan itu tidak mengambil kira kualiti sambungan.

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh berkata, selepas hampir setahun memerangi pandemik Covid-19, sudah tiba masanya kerajaan mengenal pasti penyelesaian inovatif untuk memastikan anak-anak dapat terus belajar dengan berkesan.

“Situasi Covid-19 ini tiada tanda akan reda, dan melaksanakan pembelajaran berasaskan televisyen merupakan satu langkah mudah yang boleh dilaksanakan serta-merta.

“Saya teruja untuk melihat bagaimana kerajaan dapat menyesuaikan kemudahan sedia ada secara kreatif bagi mencapai pendidikan yang berterusan,” katanya.

Seruan IDEAS itu senada dengan Menteri Pendidikan Radzi Jidin semalam yang pada sidang media menyebut, kementerian itu mahu meneliti program pendidikan untuk diperkukuhkan bagi memastikan anak-anak “tidak ketinggalan dalam pelajaran mereka”.

-FMT

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •