Perkhidmatan penghantaran barang alami gangguan semasa PKP – AMEC

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Syarikat-syarikat penghantaran barang memaklumkan bahawa akan terdapat gangguan dalam perkhidmatannya berikutan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menurut Persatuan Syarikat Penghantaran Ekspres Malaysia (AMEC).

Persatuan itu memberitahu tahap perkhidmatan syarikat penghantaran terjejas kerana pembatalan penerbangan penumpang antara Semenanjung dengan Malaysia Timur serta sekatan pergerakan berikutan PKP.

“Situasi luar biasa ini akan menyebabkan gangguan dalam penghantaran dan ketidakmampuan menghantar surat atau bungkusan, dalam kata lain pemain industri perlu menyesuaikan diri dan mengatur semula (sistem) dengan segera untuk penghantaran dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat,” demikian menurut AMEC dalam kenyataan hari ini.

-Advertisement-

Oleh itu, dalam keadaan yang tidak menentu ini, AMEC mengisytiharkan situasi ‘force majeure’ (biasanya bermaksud situasi yang tidak dijangka akan berlaku yang akan menyebabkan atau menghalang seseorang daripada melaksanakan tanggungjawabnya seperti yang termaktub dalam kontrak) sehingga wabak COVID-19 dapat dibendung dan perkhidmatan penghantaran kembali dalam keadaan normal.

“AMEC memberi jaminan bahawa ahli yang dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Pos 2012 mengambil langkah berjaga-jaga untuk mematuhi peruntukan dalam Garis Panduan serta Langkah-Langkah Pencegahan oleh Penyedia Perkhidmatan Pos, seperti yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” tambahnya.

Bagaimanapun, AMEC menyatakan sokongan terhadap langkah kerajaan dengan pengumuman pelaksanaan PKP baru-baru ini sebagai usaha melandaikan lekuk jangkitan COVID-19 apabila kes baharu wabak itu terus mencatatkan peningkatan di negara ini.

-Advertisement-

Kerajaan memutuskan PKP dilaksanakan di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah selama 14 hari bermula 13 hingga 26 Jan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata enam lagi negeri – Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan – diletakkan di bawah PKP Bersyarat (PKPB) manakala PKP Pemulihan dilaksanakan di Perlis dan Sarawak untuk tempoh sama.

Semalam, kerajaan negeri Sarawak memutuskan untuk melaksana PKP di bahagian Sibu untuk tempoh 14 hari bermula Sabtu ini sehingga 29 Jan susulan peningkatan kes COVID-19 di kawasan berkenaan sejak beberapa hari lepas.

— BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share