Kenaikan harga barang: 2 pemborong, 23 peruncit terima notis

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUANTAN: Dua pemborong dan 23 peruncit di daerah ini membabitkan pasar raya, pasar awam dan kedai runcit yang menjual barang basah diberikan Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), semalam.

-Advertisement-

Pengarah KPDNHEP Pahang, Datuk Mark Ujin, berkata maklum balas notis itu akan dianalisa bagi memastikan tiada elemen mengaut untung berlebihan dalam kalangan peniaga yang menjual atau membekalkan barangan basah.

“Maklum balas notis itu perlu diserahkan kepada KPDNHEP Kuantan dalam tempoh dua hari bekerja.

“Tindakan itu hasil pemeriksaan bersasar di beberapa premis tumpuan pengguna seperti pasar raya, pasar awam dan premis yang menjual sayur-sayuran di sekitar bandar Kuantan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini harga beberapa barang keperluan harian dilaporkan berlaku kenaikan terutama ikan, sayur dan bawang merah sejak beberapa hari lalu.

Mengulas kenaikan harga barang basah di daerah ini, beliau berkata, ia berlaku disebabkan musim tengkujuh yang melanda ketika ini.

Katanya, situasi itu berlaku setiap tahun sekitar Disember hingga Januari dan dijangka akan pulih pada Februari hingga Mac depan apabila keadaan cuaca kembali tenang.

“Bagaimanapun, KPDNHEP Pahang akan terus memantau situasi ini dan akan bertindak menyerahkan NPMB kepada peniaga yang didapati menaikkan harga barangan keperluan pengguna secara melampau,” katanya.

-Advertisement-

Beliau berkata, selain itu, sesi libat urus bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Pahang (PERNEPA) turut dilaksanakan.

Katanya, hasil siasatan mendapati barang basah seperti ikan dan beberapa jenis sayur mengalami sedikit kenaikan harga disebabkan beberapa faktor.

“LKIM Pahang memaklumkan bahawa musim tengkujuh yang sedang melanda negeri di Pantai timur menyebabkan nelayan tidak dapat turun ke laut sekali gus menjejaskan bekalan ikan segar di pasaran sekitar Kuantan.

“PERNEPA juga mengesahkan kekurangan bekalan ikan ketika ini berdasarkan pengurangan kekerapan pendaratan ikan oleh bot-bot nelayan laut dalam di jeti LKIM Kuantan.

“FAMA Pahang pula memaklumkan perubahan cuaca yang terlampau sejuk di Cameron Highlands ketika ini menyebabkan proses tumbesaran tomato terbantut dan lambat masak sekali gus merencatkan pengeluaran bekalan sayur itu.

“FAMA Pahang juga memaklumkan hujan yang berterusan sejak dua minggu kebelakangan ini menjejaskan pekebun tempatan yang menyebabkan kualiti dan kuantiti hasil sayur merudum.

“Bagaimanapun, FAMA Pahang memaklumkan proses penanaman semula sudah mula dilakukan oleh pekebun sayur sekitar Kuantan dan dijangka bekalan kembali pulih pada Februari ini,” katanya.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share