Tiada sambutan Thaipusam di negeri PKP, PKPB

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Kuil yang berada di negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) tidak dibenarkan mengadakan upacara Thaipusam dalam usaha kerajaan mengawal penularan pandemik COVID-19.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique, berkata keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Menteri Kanan Pertahanan Bilangan 3 Tahun 2021.

Katanya, keputusan itu diambil susulan perbincangan kementeriannya dengan Ketua-Ketua Agama Hindu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kementerian juga mengambil maklum keputusan semua kerajaan negeri supaya tiada upacara sambutan Thaipusam diadakan di rumah-rumah ibadat di negeri masing-masing kecuali Perlis, pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan semula PKP di beberapa negeri untuk tempoh 14 hari bermula jam 12.01 tengah malam, 13 Januari lalu sehingga 26 Januari ini.

Halimah berkata, kementerian itu turut mengambil maklum kenyataan Pertubuhan Malaysia Hindu Sangam (MHS) pada 12 Januari lalu yang tidak membenarkan sebarang upacara Thaipusam dijalankan di rumah ibadat yang bernaung di bawah persatuan itu di seluruh negara.

Katanya, mesyuarat teknikal juga bersetuju upacara Thaipusam boleh diadakan di negeri-negeri bawah PKP Pemulihan (PKPP) dengan kebenaran kerajaan negeri dan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat.

“SOP ketat ini bertujuan mengawal penularan rantaian COVID-19 terutama ketika tempoh getir ini,” katanya.

-BH

-Advertisement-

-Advertisement-

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •