Bawa 10.5kg dadah dalam bot nelayan, dua lelaki ditahan

Estimate Reading Time: < 1 minute

GEORGETOWN: Polis menahan dua lelaki membawa 10.5 kilogram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM472,500 di kawasan jeti nelayan Sungai Gelugor, Batu Uban, di sini, dua hari lalu.

-Advertisement-

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata polis sebelum itu mengesan bot nelayan dinaiki dua suspek terbabit dan menahan mereka sebaik tiba di jeti nelayan berkenaan pada jam 11.30 pagi Ahad lalu.

Katanya, pemeriksaan dilakukan terhadap lelaki warga tempatan berusia 52 tahun dan rakannya warga Thailand berusia 36 tahun, menemukan satu guni mengandungi 10 bungkusan berwarna hitam dengan masing-masing di dalamnya mempunyai bungkusan teh Cina berwarna kuning berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

“Siasatan mendapati kedua-dua suspek yang berlepas dari Langkawi, Kedah itu kali pertama datang ke Pulau Pinang menerusi laluan laut dan mengambil masa 10 jam tiba di negeri ini selepas tersesat di Tanjung Dawai, Kedah, menaiki bot nelayan milik seorang daripada suspek.

“Mereka menerima upah RM10,000 dan sudah menerima bayaran RM3,500 pada permulaan, manakala bakinya akan diterima selepas selesai tugas menghantar bekalan.

-Advertisement-

“Kita percaya bekalan dadah itu dihantar menerusi laluan laut kerana terdapat banyak sekatan polis di laluan darat berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Soffian berkata, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methaphetamine dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, dadah dirampas boleh digunakan kira-kira 50,000 penagih dan polis masih meneruskan siasatan bagi mengesan individu lain yang terbabit.

“Suspek direman lima hari bermula semalam hingga 22 Januari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori,” katanya.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share