Puluhan ribu rakyat India tolak suntikan vaksin

Estimate Reading Time: < 1 minute

NEW DELHI: Kerajaan India semalam memaklumkan akan menggandakan usaha untuk membina kepercayaan rakyatnya susulan hampir satu pertiga penduduk negara itu tidak muncul untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 yang mula dibekalkan sejak Sabtu lalu.

-Advertisement-

Dalam tempoh tiga hari pertama program vaksin COVID-19 itu dimulakan, kerajaan berkata, 381,305 penduduk telah menerima suntikan vaksin berkenaan.

Di New Delhi, hanya 53 peratus penduduk hadir untuk menerima suntikan, lapor pihak berkuasa kesihatan.

“Program ini baru diperkenalkan beberapa hari lalu dan kami faham, ramai yang masih ingin melihat bagaimana prosedur ini dijalankan dan menunggu perkembangan vaksin lain.

“Kami juga berusaha untuk menangani maklumat tidak tepat mengenai program ini bagi meningkatkan keyakinan orang ramai,” kata salah seorang pasukan petugas coronavirus di bandar raya itu, Suneela Garg.

Kerajaan India memulakan antara program vaksin COVID-19 yang terbesar di dunia dan berharap dapat memvaksin kira-kira 300 juta daripada 1.3 bilion penduduknya menjelang Julai depan.

-Advertisement-

Sementara itu, dalam satu laporan akhbar memaklumkan cuma 16 peratus penduduk di negeri Tamil Nadu yang hadir untuk menerima suntikan.

Selain itu, di pusat kesihatan komuniti di daerah Rohtak, dekat Haryana, cuma 29 orang daripada 100 penduduk yang sepatutnya menerima vaksin berkenaan hadir, kata seorang doktor kepada AFP.

“Ramai penduduk yang masih takut, jadi kita tidak boleh memaksa mereka untuk menerima suntikan ini kerana ia bersifat sukarela,” katanya.

Menteri Kesihatan, Harsh Vardhan turut menukar ‘tajuk’ profil di Twitternya dengan catatan “Vaksin Berkesan’.

“Sejak awal lagi kita telah memaklumkan masyarakat supaya tidak bimbang terutama apabila banyak maklumat tidak tepat mengenai vaksin dikongsikan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut memaklumkan, dalam tempoh tiga hari pertama program vaksinasi itu dijalankan, 580 individu dilaporkan mengalami gejala yang membimbangkan. – AFP

Share this Article
  • 2
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    2
    Shares