17,906 calon SPM 2020 mula sesi persekolahan bersemuka di Terengganu

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA TERENGGANU: Seramai 17,906 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 memulakan sesi persekolahan 2021 secara bersemuka di seluruh Terengganu, hari ini.

-Advertisement-

Pengarah Pendidikan Terengganu, Salim Ab Ghani, berkata mereka adalah sebahagian daripada 18,743 pelajar bakal menduduki peperiksaan SPM 2020 di negeri ini yang merangkumi 837 calon persendirian.

Selain itu, beliau berkata, seramai 9,435 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020 di Terengganu turut ke sekolah, hari ini.

“Seramai 203 calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 dan 362 pelajar bakal menduduki peperiksaan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) 2020 juga ke sekolah, hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pemantauan terhadap kehadiran pada hari pertama sesi persekolahan 2021 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Razali Ismail, di sini, hari ini.

-Advertisement-

Yang turut hadir, Pengetua SMK Dato’ Razali Ismail, Sabariah Abd Mubin.

Dalam pada itu, Salim mengingatkan semua pengetua dan pelajar supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Pengetua diminta supaya sentiasa memberi kefahaman mengenai pematuhan SOP dalam norma baharu, kepada semua pelajar dan ibu bapa mereka.

“Jika berlaku kes positif COVID-19, ia bukan saja akan menjejaskan sesi pembelajaran secara bersemuka oleh pelajar tetapi juga kelas dan sekolah,” katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati rata-rata pelajar mematuhi SOP dengan menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum dibenarkan memasuki kawasan sekolah bersama pengawasan guru.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share