Guna kad kredit orang, pemilik kedai tayar kena jel 15 bulan

Estimate Reading Time: 2 minutes

JELEBU: Seorang pemilik kedai tayar dijatuhi hukuman penjara 15 bulan, denda RM3,000 dan satu sebatan bagi setiap satu daripada dua pertuduhan dihadapi kerana menggunakan kad kredit orang lain untuk membeli barang.

-Advertisement-

Majistret Muhammad Hidayat Wahab menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Leong Miow Hiong, 40, dari Petaling Jaya, mengaku salah atas dua pertuduhan dihadapinya. Tertuduh juga boleh dipenjara selama empat bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh pada jam 9.05 malam, 31 Disember tahun lalu di 99 Speedmart cawangan Titi secara tidak jujur menggunakan kad kredit milik Loh Sin Kan, 70, berjumlah RM255.60.

Bagi pertuduhan kedua, pada jam 9.33 malam tarikh yang sama, tertuduh didapati menggunakan kad kredit yang sama bagi membuat pembelian berjumlah RM152.85 di MR DIY Kuala Klawang.

Oleh yang demikian tertuduh dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Tertuduh dikatakan membeli susu formula, tepung dan spanar menggunakan kad kredit orang lain di kedua-dua premis berkenaan.

Susulan pembelian berkenaan, anak kepada Loh Sin Kan dimaklumkan pihak bank menerusi mesej mengenai penggunaan kad kredit bapanya.

-Advertisement-

Berikutan itu, pada 1 Januari lalu, seorang anak kepada Sin Kan pergi ke MR DIY Setia Alam bagi meminta bantuan mengesan penggunaan kad kredit berkenaan sebelum dimaklumkan ia sudah digunakan di MR DIY cawangan Kuala Klawang.

Pada 2 Januari pula, seorang ahli keluarga Sin Kan pergi ke MR DIY Kuala Klawang bagi melihat rakaman kamera litar tertutup sebelum melihat seorang lelaki menggunakan kad kredit berkenaan.

Pada ketika kad kredit itu digunakan Sin Kan tiada di rumah dan anaknya mengesyaki ayahnya sudah hilang sebelum membuat laporan di Balai Polis Damansara pada 31 Disember lalu.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan penemuan mayat warga emas dalam but kereta di Jalan Wawasan 5/2, Taman Wawasan, Puchong pada tengah malam 7 Januari lalu.

Susulan itu seorang ahli perniagaan ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Siasatan awal polis mendapati kad kredit milik mangsa digunakan di sebuah pasar raya di Jelebu.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share