AS dakwa Hambali, dua rakyat Malaysia atas serangan di Bali, Jakarta

Estimate Reading Time: < 1 minute

WASHINGTON: Pendakwa raya tentera Amerika Syarikat (AS) memfailkan pertuduhan rasmi terhadap seorang militan Indonesia dan dua rakyat Malaysia yang terbabit dalam pengeboman Bali pada 2002 serta serangan di Jakarta pada 2003, kata Pentagon.

-Advertisement-

Pertuduhan itu difailkan hampir 18 tahun selepas ketiga-tiga tertuduh ditangkap di Thailand dan dikurung lebih 14 tahun di penjara tentera AS di Teluk Guantanamo, Cuba, pada hari pertama pentadbiran penuh presiden baharu AS, Joe Biden.

Tertuduh pertama adalah militan Indonesia, Riduan Isamuddin, yang lebih dikenali sebagai Hambali, ketua kumpulan jihad Indonesia, Jemaah Islamiyah (JI) yang dipercayai turut menjadi wakil kanan Al-Qaeda di rantau ini.

Kumpulan itu, dengan sokongan Al-Qaeda, mengebom kelab malam pelancong di Bali pada 12 Okt 2002, menyebabkan 202 individu terbunuh, serta melakukan serangan di hotel JW Marriott di Jakarta pada 5 Ogos 2003, yang meragut 12 nyawa dan mencederakan puluhan lagi.

-Advertisement-

Dua rakyat Malaysia yang terlibat – Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin – adalah orang kanan Hambali dalam JI yang dilatih oleh Al-Qaeda, menurut dokumen kes Guantanamo.

“Pertuduhan itu membabitkan konspirasi, pembunuhan, cubaan membunuh, dengan sengaja mendatangkan kecederaan, keganasan, menyerang orang awam, memusnahkan harta benda, dan bersubahat, serta melanggar undang-undang perang,” kata Pentagon dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, tidak jelas mengapakah pertuduhan di hadapan tribunal tentera itu diumumkan semalam, setelah lewat beberapa tahun.

Pada 2016, permohonan Hambali untuk dibebaskan dari Guantanamo ditolak kerana, menurut pendakwa raya, militan itu masih “menjadi ancaman kepada keselamatan AS”.

-BH

Share this Article
  • 2
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    2
    Shares