Kembalikan kuarantin 14 hari, gesa pakar

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Malaysia perlu mengembalikan tempoh kuarantin 14 hari ke atas pelancong antarabangsa memandangkan mutasi Covid-19 yang lebih menular sudah wujud di bahagian lain di dunia, kata seorang ahli epidemiologi.

-Advertisement-

Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud, profesor epidemiologi dan biostatistik di Universiti Malaya berkata, varian Covid-19 seperti B.1.1.7 dari UK, 501Y.V2 dari Afrika Selatan dan P.1 dari Brazil masih dalam kajian oleh pakar.

Oleh sebab kekurangan data sedia ada berhubung mutasi ini, termasuk berapa lama ia boleh terus menular, beliau berkata, adalah lebih baik bagi pelancong antarabangsa dikuarantin selama 14 hari, bukannya 10 hari.

“Kita tidak benar-benar tahu berapa lama tempoh penularan varian baru ini, jadi lebih baik kita berhati-hati.

Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud.

“Kita tidak boleh menambah varian baharu tersebut kepada masalah yang sudah kita hadapi di Malaysia.

Awang Bulgiba memberi amaran: “jika tempoh penularannya lebih lama, maka jangkitan komuniti boleh berlaku jika kita membenarkan orang keluar daripada kuarantin terlalu cepat.”

-Advertisement-

Dengan sektor kesihatan awam yang sudah terbeban dengan jumlah kes yang perlu ditangani, beliau berkata varian yang lebih menular akan menyebabkan peningkatan kes harian.

“Sekalipun nisbahkes teruk tetap sama, peningkatan (jumlah) jangkitan baharu secara keseluruhan akan menambah beban sistem kesihatan awam kita yang sudah tertekan.

“Ketegangan sudah dapat dilihat dan saya tidak tahu berapa lama lagi kita boleh bertahan dengan angka sebegini, katanya.

Awang Bulgiba, yang juga setiausaha agung Akademi Sains Malaysia, menambah, satu isu di sini adalah kekurangan penjujukan genom dan analisis yang berkaitan.

Ujian tersebut dapat menentukan sama ada mutasi Covid-19 adalah punca di sebalik lonjakan jumlah jangkitan dan kes dalam rawatan intensif, katanya.

Pada 11 Jan, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mendedahkan Malaysia mengesan kes pertama varian B.1.1.7 yang melibatkan seorang pengembara yang pernah ke Britain bulan lalu.

Namun, penularan tempatan untuk virus mutan belum dikesan di sini.

Tempoh kuarantin mandatori dikurangkan menjadi 10 hari daripada 14 hari pada 14 Dis, yang menurut Noor Hisham, sesuai dengan laporan klinikal terkini yang menunjukkan kadar jangkitan Covid-19 paling tinggi pada minggu pertama setelah terdedah kepada virus.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share