Tawar 9,000 kerja: Usaha Top Glove dihargai, perlu jaga kebajikan pekerja

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Usaha Top Glove Corporation Bhd menawarkan 9,000 peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan dihargai, namun keselamatan dan kebajikan mereka perlu dititikberatkan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

-Advertisement-

Menteri Kanan (Keselamatan) itu berkata, syarikat berkenaan perlu memastikan semua bakal pekerjanya menjalani ujian saringan COVID-19, bagi mengelak jangkitan baharu dalam kalangan mereka, selain menyediakan kemudahan penginapan bagi mereka yang menghadapi masalah itu.

-Advertisement-

“Saya harap semua pekerja mengambil ujian ‘swab’ dan mereka yang tiada rumah sendiri, saya harap mereka ditempatkan di tempat yang kondusif untuk diduduki.

“Kita tidak mahu ada tambahan kes dalam kalangan pekerja syarikat ini,” katanya kepada BERNAMA, hari ini.

MENTERI Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA
MENTERI Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – Foto BERNAMA

Syarikat itu dalam usaha menangani pengangguran di negara ini, hari ini mengumumkan pengambilan 9,000 pekerja menerusi kempen pengambilan pekerja selama setahun yang dimulakan dengan Pameran Kerjaya Top Glove Secara Maya, esok.

Ia membabitkan masing-masing sebanyak 4,000 jawatan untuk pekerja tempatan, 2,300 jawatan untuk lulusan baharu universiti dan vokasional teknologi, 2,000 pelatih latihan industri dan pelatih serta 700 pekerja yang berpengalaman. – BERNAMA

Share this Article
  • 2
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    2
    Shares