Pelaburan asing Malaysia jatuh 68%, Covid-19 tak patut jadi alasan, kata Najib

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Pengaliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia jatuh 68% ke AS$2.5 bilion pada 2020, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD).

-Advertisement-

Menurut laporan UNCTAD itu, FDI di Asia Tenggara berkurangan 31% kepada AS$107 bilion, dengan FDI Singapura jatuh 37% kepada AS$58 bilion, Indonesia 24% ke AS$18 bilion dan Vietnam 10% ke AS$14 bilion.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia melihat kejatuhan ketara FDI sebanyak 68% ke AS$2.5 bilion.

Menurut laporan itu, FDI di kebanyakan negara membangun jatuh sekadar 12% berbanding negara maju yang melihat pengurangan 69%, manakala FDI global berkurangan 42%.

“Di Thailand, FDI mengucup 50% ke AS$1.5 bilion, sebahagian besarnya akibat peralihan pelaburan yang besar. Tesco UK menjual rangkaian pasarayanya kepada kumpulan pelaburan Thai untuk AS$9.9 bilion.

“Aliran FDI di Filipina pula meningkat 29% kepada AS$6.4 bilion,” menurut laporan itu.

-Advertisement-

“Asia Tenggara melihat lebih AS$70 bilion dalam projek baharu pelaburan ‘greenfield’, iaitu, jumlah terbesar dalam rantau membangun,” kata UNCTAD.

Sementara itu, bekas perdana menteri, Najib Razak kecewa dengan pencapaian Malaysia dalam menarik pelaburan asing dan menegaskan Covid-19 tidak boleh dijadikan alasan.

Beliau berkata, Malaysia pernah menjadi antara negara Asean dengan FDI tertinggi sebelum pilihan raya 2018.

Katanya, FDI Malaysia pada 2017 adalah AS$12 bilion, mengatasi Indonesia (AS$9 bilion) dan Thailand (AS$7 bilion), malah kedua tertinggi selepas Singapura (AS$35 bilion).

“Jangan gunakan Covid-19 sebagai alasan, sedangkan negara Asean lain turut berdepan ancaman sama,” katanya di Facebook.

-FMT

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •