‘Sektor penyumbang lonjakan kes wajar tutup 4 hingga 6 minggu’

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Pakar kesihatan awam dan virologi sependapat penutupan aktiviti ekonomi sukar dielak jika penularan COVID-19 di negara ini tidak menunjukkan penurunan.

-Advertisement-

Bagaimanapun, mereka menyimpulkan aktiviti ekonomi tidak perlu ditutup sepenuhnya, sebaliknya hanya sektor yang menyumbang kepada peningkatan kes harian COVID-19.

Pakar virologi dari Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar, berkata kerajaan wajar memfokuskan penutupan aktiviti ekonomi membabitkan sembilan sektor yang dikesan menyumbang penularan jangkitan ketika ini.

Antara sektor yang perlu ditutup, katanya, adalah pembinaan serta perkilangan dan pembuatan, manakala arahan perlu dikuatkuasakan sekurang-kurangnya antara empat hingga enam minggu.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sekarang ada kebocoran kerana kita tidak galakkan pergerakan masyarakat tetapi punca penularan adalah sektor ekonomi tertentu seperti pembuatan dan pembinaan yang dibenarkan beroperasi.

“Mereka menularkannya di tempat kerja, kemudian merebak ke dalam komuniti dengan peniaga kecil menjadi mangsa sedangkan mereka tidak menyumbang terhadap peningkatan kes.

“Tidak perlu tutup semua perniagaan, hanya fokus sektor yang menyumbang kepada penularan, yang memiliki ramai pekerja hingga tiada penjarakan fizikal, sengaja mengabaikan aspek penjarakan atau tidak melaksanakan langkah biokeselamatan di tempat kerja.

“Sektor ekonomi yang kecil dan tidak babit ramai pekerja atau pelanggan pada satu-satu masa dan tidak tertutup atau memiliki aliran udara yang baik boleh dibenarkan beroperasi,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Pakar epidemiologi dan biostatistik Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, turut bersetuju tindakan menghentikan aktiviti ekonomi wajar dilaksanakan dan perlu dikuat kuasa lebih awal dari 4 Februari sekiranya serius mahu menghentikan lonjakan kes harian.

Jelasnya, ia perlu dipercepatkan kerana pelaksanaan PKP bermula 13 Januari lalu di beberapa negeri juga dilihat terlewat hingga kes harian COVID-19 mencecah 4,000 walaupun trend peningkatan jelas kelihatan seawal Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, penutupan aktiviti ekonomi itu perlu dilakukan secara bersasar, khususnya terhadap sektor yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) hingga menyebabkan kes baharu terus melonjak.

-Advertisement-

“Mana-mana sektor ekonomi dan aktiviti sosial yang terbukti boleh mematuhi SOP dan tidak menyumbang peningkatan kes, boleh diteruskan namun dengan pemantauan ketat.

“Langkah lebih ketat perlu dilaksanakan segera kerana saya menjangkakan kes baharu terus meningkat dalam tempoh dua minggu ini hingga ke tahan 5,000 dan kes aktif mungkin naik hingga 60,000.

“Sektor yang diarah tutup tidak boleh menyalahkan kerajaan. Sudah setahun kita dilanda wabak ini dan tahu langkah untuk mengelak penularannya.

“Jika ada sektor yang diarah tutup, ia adalah atas pilihan kita sendiri,” katanya.

Pakar kesihatan awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata penutupan ekonomi secara menyeluruh dikhuatiri akan meninggalkan lebih banyak kesan buruk berbanding manfaat.

Walaupun bersetuju dengan keperluan melaksanakan lebih ketat, beliau khuatir penutupan ekonomi menyeluruh akan memburukkan ekonomi negara, meningkatkan masalah sosial seperti pengangguran, jenayah dan penderaan rumah tangga, selain kesan pada kesihatan awam seperti tekanan, masalah mental dan bunuh diri.

“Kerajaan boleh teruskan PKP sedia ada, namun diperketatkan. Contohnya walaupun sekarang ada PKP, jalan raya masih dipenuhi kenderaan, jadi kerajaan wajar perketat perintah bekerja dari rumah.

“Malah, industri yang dikategorikan sebagai sektor penting terlalu banyak, ini boleh dikecilkan.

“Penutupan ekonomi sepenuhnya bagus daripada segi kawalan penularan tetapi tidak praktikal.

“Jika ekonomi negara terjejas, sektor kesihatan awam juga akan menerima impaknya,” katanya.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share