Bantuan sudah disalur kepada pemandu teksi, kata APAD

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) memaklumkan sudah menyalurkan bantuan kepada pemandu teksi, susulan laporan mengaitkan kebanyakan mereka tidak berpuas hati dengan agensi itu dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

-Advertisement-

APAD berkata, agensi berkenaan sudah diberikan tanggungjawab dan melaksanakan tugasan menguruskan data pemandu teksi dan mengemukakan data pemandu aktif kepada Kementerian Kewangan bagi urusan pembayaran bantuan yang diumumkan Putrajaya.

“Pihak APAD sentiasa membuat tindakan susulan dan melaksanakan usaha hebahan informasi mengenai bantuan Prihatin 2020 Teksi agar sampai secara menyeluruh kepada golongan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Putrajaya sudah mengumumkan bayaran secara “one-off” RM600 kepada pemandu teksi yang berdaftar melalui Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 pada 27 Feb dan Pakej Prihatin pada 27 Mac 2020.

Bantuan diberikan bagi meringankan beban pemandu teksi yang terjejas pendapatan disebabkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac hingga 12 Mei 2020 dan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) pada 4 Mei hingga 9 Jun 2020 susulan penularan Covid-19.

APAD berkata demikian sebagai respons kepada laporan FMT yang memetik Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM) meminta kerajaan mengkaji punca pemandu teksi tidak berpuas hati dengan dua agensi itu yang bekerjasama dengan pihaknya untuk menjayakan semua program dirangka kerajaan.

Presiden GTSM Kamarudin Mohd Hussain berkata, ramai pemandu teksi belum menerima bantuan “one-off” RM600 yang diumumkan tahun lalu.

Katanya, ahlinya bimbang rekod “lemah” APAD dan LPKP dalam membela pemandu pengangkutan awam akan menggagalkan pelbagai program bantuan kerajaan.

Menurut agensi itu, pihak persatuan juga boleh memainkan peranan dengan mengingatkan ahli supaya terus patuh peraturan ditetapkan seperti sentiasa memastikan kad pemandu dalam tempoh sah laku semasa beroperasi.

-Advertisement-

“APAD menyeru kepada semua rakan industri khususnya pemandu teksi supaya sentiasa peka akan tanggungjawab masing-masing dan peraturan semasa yang berkuat kuasa,” katanya.

Katanya, tindakan mengabaikan tanggungjawab dengan beroperasi tanpa dokumen sah laku atau tiada dokumen bukan sahaja suatu kesalahan malah merugikan pemandu itu sendiri dari segi kelayakan untuk mendapatkan bantuan langsung kerajaan.

Agensi itu menjelaskan pemandu aktif dikategorikan sebagai mereka yang mempunyai kad pemandu sah semasa tempoh kelayakan diumumkan, dan kad pemandu penting dalam memastikan semua pemandu mempunyai kelulusan rasmi untuk membawa penumpang awam.

“Kadar fi dikenakan untuk pengeluaran kad pemandu adalah RM5 setahun, atau RM0.42 sebulan dan boleh diperbaharui di mana-mana pejabat APAD di seluruh negeri.

“Bagi pemandu yang tidak memperbaharui kad pemandu, sistem akan menunjukkan status tidak aktif,” katanya.

Malah, menurut APAD, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong pada 23 Mei tahun lalu bersetuju memberi kelonggaran kepada pemegang kad pemandu yang tamat tempoh untuk memperbaharui kad pemandu sebelum 1 Julai 2020 dan layak dipertimbangkan bantuan RM600 itu.

April tahun lalu, Kementerian Kewangan mengumumkan bantuan “one-off” RM600 akan mula dibayar kepada pemandu teksi dan pemandu pelancong berdaftar.

Minggu lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan skim pemulihan sewa beli bas dan teksi bagi membolehkan pengusaha menstruktur semula pinjaman kenderaan, menikmati moratorium pembayaran balik selama 12 bulan dan pembayaran balik bulanan lebih rendah.

-FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share