Cedera dipukul kerana mempertahankan anak

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki cedera dipukul dipercayai akibat memarahi seorang remaja yang sering mengganggu anaknya di sebuah projek perumahan rakyat (PPR) di sini, semalam.

-Advertisement-

Terdahulu, anak lelaki mangsa berusia 15 tahun menghubungi ibunya yang juga isteri mangsa memberitahu diganggu menyebabkan mangsa turun untuk menyelesaikan masalah itu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa berusia 42 tahun didatangi kira-kira 30 lelaki dan berlaku pertengkaran.

“Suspek kemudian menumbuk muka, memukul mangsa menggunakan besi pengunci stereng dan mengacukan pisau.

“Ketua blok yang dimaklumkan kejadian ke lokasi dan kesemua suspek beredar. Mangsa cedera di rusuk kiri, luka di kepala dan belakang badan akibat terkena pisau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

-Advertisement-

Beh berkata, polis yang menerima laporan menjalankan siasatan dan mendapati mangsa ke lokasi kejadian untuk mencari anaknya yang ditahan enam lelaki sebelum berlaku pergaduhan itu.

“Punca kejadian dipercayai disebabkan mangsa menahan seorang remaja berusia 15 tahun dan memarahinya kerana sering mengganggu anaknya,” katanya.

Katanya, berikutan kejadian itu polis menahan dua lelaki berusia 14 dan 27 tahun bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, seorang suspek direman empat hari manakala suspek remaja dibebaskan dengan jamin.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

-HMetro

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share