Pemain Chelsea luah rasa di media sosial

Estimate Reading Time: 2 minutes

LONDON: Beberapa pemain Chelsea menggunakan media sosial untuk meluahkan perasaan selepas pemecatan Frank Lampard sebagai pengurus semalam.

-Advertisement-

Selepas 18 bulan membimbing Blues, Lampard dipecat ekoran aksi hambar kelab London itu yang tewas lima daripada lapan aksi terakhir Liga Perdana Inggeris.

Bekas pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel dijangka mengambil alih tempat Lampard.

THOMAS TUCHEL

Thiago Silva, Tammy Abraham, Reece James, Mason Mount, Christian Pulisic, Billy Gilmour, Cesar Azpilicueta dan Ben Chilwell antara yang menggunakan media sosial untuk menyatakan penghargaan kepada Lampard.

“Banyak yang saya pelajari daripada kamu. Terima kasih atas segalanya,” tulis Mount dalam Twitter.

“Terima kasih tidak terhingga atas kepercayaan yang kamu berikan kepada saya. Tidak mungkin melupakan 18 bulan kita bersama. Saya doakan yang terbaik buat kamu,” kata Christian Pulisic.

“Terima kasih atas peluang dan keyakinan kamu terhadap saya. Satu penghormatan dapat belajar dari kamu,” tulis Billy Gilmour.

-Advertisement-

“Saya berkongsi memori bersama kamu sejak 2012. Pertama sebagai rakan sepasukan dan kemudian, kami menjadi pengurus. Banyak yang saya belajar. Saya mendoakan yang terbaik buat kamu,” kata
Cesar Azpilicueta.

Sementara itu, Lampard mengakui terkilan kerana tidak diberikan tempoh yang cukup untuk menaikkan Chelsea.

Lampard membawa Blues ke kedudukan keempat Liga Perdana musim lalu dan mara ke final Piala FA dalam musim pertamanya.

Bagaimanapun dia gagal memenuhi pengharapan tinggi musim ini selepas kelab membelanjakan 220 juta pound (RM1.217 bilion) bagi membeli pemain baharu pada pasaran perpindahan musim panas lalu.

Rentetan lima kekalahan dalam lapan perlawanan terakhir liga menyebabkan Chelsea jatuh ke tangga kesembilan, 11 mata di belakang pendahulu, Manchester United.

Kemenangan 3-1 ke atas kelab Liga Kejuaraan, Luton Town tidak cukup  menyelamatkan bekas pemain tengah England itu.

“Ia satu penghargaan dan penghormatan  untuk menguruskan Chelsea, kelab yang menjadi sebahagian besar hidup saya untuk tempoh yang sangat lama.

“Saya kecewa tidak diberikan masa musim ini untuk membawa kelab ke depan dan ke tahap seterusnya,” kata Lampard dalam satu kenyataan di Instagram. – AGENSI

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •