Tiga lagi sekolah rendah ditutup akibat COVID-19

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA TERENGGANU: Tiga lagi sekolah rendah masing-masing dua di daerah Kuala Terengganu dan satu di daerah Hulu Terengganu diarahkan ditutup selama tujuh hari berkuat kuasa semalam.

Tiga sekolah diarah tutup bagi membolehkan proses sanitasi dilakukan selepas Jabatan Kesihatan negeri mengesan kes positif COVID-19 membabitkan tiga kakitangan Rabu lalu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga dan SK Cabang Tiga di Kuala Terengganu serta SK Bukit Apit di Hulu Terengganu.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus mengesahkan pihaknya ada mengeluarkan surat penutupan tiga sekolah rendah itu kepada Jabatan Pendidikan negeri bagi kawalan perebakan penyakit berjangkit.

Beliau berkata, arahan penutupan sekolah itu dikeluarkan mengikut Seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) serta kegagalan mematuhi arahan kerja membasmi kuman adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 22 (b) Akta 342.

Katanya, jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 24 (a) akta sama boleh dipenjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dengan notis terbaru itu, sebanyak 15 sekolah rendah iaitu masing-masing 14 di daerah Kuala Terengganu dan satu di daerah Hulu Terengganu ditutup setakat ini susulan kes positif COVID-19.

Sementara itu, tinjauan di SK Paya Bunga pada jam 9 pagi ini mendapati tiada notis penutupan ditampal pada dinding sekolah berkenaan.

Tinjauan juga mendapati beberapa kakitangan kebersihan masih dibenarkan pengurusan sekolah melakukan kerja pembersihan.

Pengawal keselamatan yang enggan namanya disiarkan mengakui ada menerima arahan penutupan sekolah itu, namun akuinya, setakat ini pihaknya belum menerima notis arahan penutupan sekolah untuk dilekatkan pada dinding sekolah.

“Pengurusan sekolah juga masih membenarkan kakitangan kebersihan untuk melakukan kerja pembersihan dalam kawasan sekolah,” katanya.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share