Giat promosi pelancongan domestik

Estimate Reading Time: 3 minutes

PUTRAJAYA: “Segala perancangan untuk menarik semula kedatangan pelancong asing bergantung sepenuhnya kepada situasi terkini pandemik Covid-19,” kata Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Zulkifly Md Said.

-Advertisement-

Beliau berkata, pihaknya sentiasa mempunyai perancangan selaras peranan agensi yang dipertanggungjawabkan untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan dalam kalangan pelancong sama ada dalam mahupun luar negara.

“Disebabkan penutupan pintu sempadan negara ketika ini, Tourism Malaysia akan terus meningkatkan aktiviti promosi pelancongan domestik sebelum meneroka pasaran jarak dekat seperti dalam kalangan negara Asean yang berjiran terlebih dahulu selepas ketibaan pelancong asing dibenarkan.

“Ia berikutan sebahagian besar ketibaan pelancong antarabangsa ke Malaysia datangnya dari dalam kalangan negara Asean,” katanya kepada Harian Metro.

Sepuluh negara mencatatkan bilangan ketibaan pelancong antarabangsa tertinggi ke Malaysia pada 2019 ialah Singapura dengan 10,163,882, Indonesia (3,623,277), China (3,114,257), Thailand (1,884, 306), Brunei (1,216,123), India (735,309), Korea Selatan (673,065), Jepun (424,694), Filipina (421,908) dan Vietnam (400,346).

Zulkifly berkata, walaupun pelancongan domestik tidak dapat mengambil alih sumbangan ketibaan pelancongan antarabangsa, namun pelancongan domestik tetap memainkan peranan sebagai penyumbang utama kepada kelangsungan ekonomi negara.

Ketika ini, katanya, semua usaha promosi pelancongan dalam dan luar negara lebih terarah kepada penggunaan platform atas talian seperti laman web dan media sosial dengan pengaplikasian transaksi tanpa sentuhan.

“Pada peringkat domestik, Tourism Malaysia akan meneruskan ekspedisi (familiarization trip) bersama rakan media ke beberapa destinasi pelancongan menarik untuk liputan sewajarnya.

“Untuk peringkat antarabangsa, sesi webinar dan kerjasama bersama agensi pelancongan luar negara diteruskan.

“Pejabat Tourism Malaysia di luar negara juga akan memfokuskan kepada platform digital bagi meneruskan kerjasama dengan penggiat industri membabitkan negara pasaran masing-masing,” katanya.

Selain itu, katanya, inisiatif secara ‘business to business’ (B2B) dan ‘business to customer’ (B2C) secara atas talian menjadi fokus utama dalam meneruskan usaha promosi pelancongan menerusi kerjasama dengan agensi berkaitan.

Beliau berkata, contoh, pada 20 hingga 21 Januari 2021 lalu, Tourism Malaysia membawa 16 penyertaan pemain industri pelancongan tempatan AVIAREPS Southeast Asia 3D Virtual Roadshow.

“Program julung kali diadakan di Asia Tenggara itu membabitkan penyertaan syarikat pengurusan destinasi, pihak hotel dan taman tema.

-Advertisement-

“Ia mengetengahkan sesi padanan perniagaan membabitkan 500 pembeli berpotensi di rantau ini dengan keseluruhan penyertaan 33 penjual.

“Kedua-dua pihak berinteraksi menggunakan avatar masing-masing namun seolah-olah berada dalam ekspo pelancongan sebenar dengan pembukaan gerai Tourism Malaysia secara maya tanpa batasan sempadan negara bagi memaksimumkan peluang jaringan perniagaan,” katanya.

Menurutnya, Tourism Malaysia juga bakal menyertai pameran perdagangan pelancongan terbesar dunia pada 9 hingga 12 Mac 2021 iaitu Internationale Tourismus-Borse Berlin (ITB Berlin) NOW yang julung kali diadakan secara atas talian sepenuhnya ekoran pandemik Covid-19.

Beliau berkata, Tourism Malaysia juga menjalinkan kerjasama dengan pempengaruh (influencer) media sosial antarabangsa seperti Trevor James juga dikenali sebagai The Food Ranger dalam penghasilan The Ultimate Malaysia Road Trip.

“Ia adalah siri eksplorasi gastronomi di pantai timur yang sudah dimuat naik di platform media sosial The Food Ranger pada September dan Oktober lalu.

“Siri itu yang memaparkan logo Malaysia Truly Asia membawa penonton untuk menerokai keunikan serta keenakan sajian tempatan di sekitar Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Nilai publisiti keseluruhan yang diterima Tourism Malaysia menerusi laman Facebook (FB) The Food Ranger menjangkau 128 juta tontonan dan 262 paparan manakala tujuh video di saluran YouTube The Food Ranger pula sudah meraih lima juta tontonan,” katanya.

Selain itu, katanya, setiap hari Tourism Malaysia giat menjalankan hantaran promosi pelancongan membabitkan pelbagai platform media sosial seperti FB, Instagram dan Twitter dengan menyasarkan kepada golongan millennials atau Generasi Y.

Zulkifly berkata, selari kempen #TravelTomorrow yang digerakkan Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO), Tourism Malaysia juga merencanakan kempen serupa.

Kempen dinamakan #DreamNow #TravelLater itu, katanya, bagi menggalakkan ketibaan pelancong asing apabila tiba masanya supaya Malaysia sentiasa kekal dalam ingatan pelancong asing sebagai sebuah destinasi pelancong terbaik di rantau ini.

Laporan khas Harian Metro disiarkan Selasa lalu bertajuk Dulu Rancak Sekarang Suram melaporkan kegiatan ekonomi kian malap khususnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) selepas dunia dilanda pandemik Covid-19.

Suasana suram dua lokasi ikonik negara itu yang dahulu sibuk namun kini boleh diibaratkan ‘bandar mati’ akibat jumlah pengunjung begitu rendah.

-Metro

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share