Ruang makan di R&R dibuka, SOP ketat

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) membuka semula semua ruang makan di medan selera di kawasan rehat dan rawat (R&R) termasuk dua restoran jejantas dan hentian sebelah di lebuh raya kendaliannya termasuk di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), mulai kelmarin.

-Advertisement-

PLUS menasihati pelanggan lebuh raya yang berhenti untuk makan di kawasan terbabit agar terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu hanya dua orang berada pada satu meja makan dengan memastikan penjarakan fizikal satu meter.

“Pelanggan turut dinasihati untuk mematuhi SOP keselamatan dengan memakai pelitup muka, mendaftar melalui aplikasi MySejahtera, menjalani pemeriksaan suhu badan dan mengamalkan penjarakan fizikal satu-meter apabila beratur untuk pembelian makanan atau ketika menggunakan kemudahan di R&R dalam tempoh terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

-Advertisement-

Selain itu, ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua kemudahan di R&R dan hentian sebelah seperti tandas dan surau dibuka 24 jam manakala restoran, gerai serta trak bergerak makanan dan minuman termasuk kedai serbaneka beroperasi mulai jam 6 pagi sehingga 10 malam.

“Kami turut menerima tempahan melalui fungsi prapesanan menerusi aplikasi PLUS.

Pelanggan dapat menikmati pelbagai juadah makanan yang lazat daripada gerai di 21 R&R terpilih, sama ada untuk menikmati makanan di R&R atau membawa pulang makanan dengan lebih mudah dan senang.

“Pelanggan boleh melihat variasi pilihan makanan yang ditawarkan menerusi aplikasi PLUS atau klik pautan https://orderdisini.plus.com.my/,” kata kenyataan itu.

Pelanggan juga boleh mendapatkan maklumat mengenai fungsi pra-pesanan di Facebook rasmi PLUS Malaysia. Aplikasi PLUS boleh dimuat turun secara percuma melalui google Play Store untuk peranti android atau App Store untuk pengguna iPhone.

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share