Halang tugas JAWI: 22 Mac pengurusan kes rayuan pembebasan Siti Kasim

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 22 Mac untuk pengurusan kes bagi rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan peguam Siti Kasim daripada pertuduhan menghalang tugas seorang pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), pada satu acara di sebuah hotel, lima tahun lalu.

-Advertisement-

Timbalan Pendakwa Raya, Izalina Abdullah memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas pengurusan kes dalam kamar Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Farah Azura Mohd Saad.

“Pihak Pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa rekod rayuan masih belum lengkap dan memohon tarikh pengurusan kes selanjutnya,” katanya yang turut memaklumkan bahawa peguam bagi pihak responden iaitu Siti Kasim tidak hadir pada prosiding hari ini.

-Advertisement-

Pada 21 Ogos 2020, Mahkamah Majistret di sini melepas dan membebaskan Siti Kasim atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kasim, 58, atas pertuduhan dengan sengaja menghalang pegawai JAWI Siti Nor Jihan Saleh @ Md Ghazali, 41, dalam melaksanakan tugasnya di sebuah hotel di sini, pada 10.30 malam, 3 April 2016.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Tawfiq Affandy Chin membuat keputusan itu di akhir kes pendakwaan, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan unsur-unsur pertuduhan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan. -BERITA HARIAN

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share