Sungai Segget kembali jernih selepas 50 tahun

Estimate Reading Time: 2 minutes

JOHOR BAHRU: Sungai Segget yang dikenali sebagai antara sungai terkotor di Malaysia sejak lebih 50 tahun lalu, kini kembali jernih.

-Advertisement-

Sungai Segget pernah disenaraikan sebagai antara lima sungai terkotor dan tercemar di negara ini sejak 1970-an.

Tinjauan di sekitar Sungai Segget mendapati air sungai yang dahulu berwarna hitam dan berbau busuk kini jernih sehingga dasarnya turut kelihatan.

Ikan dan hidupan akuatik lain juga boleh dilihat bermain-main di sungai berkenaan.

Naib Presiden Kanan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Abd Halim Mohd Nor, berkata Sungai Segget dikesan kembali jernih sejak Januari lalu.

Katanya, sungai itu dikesan kembali jernih selepas Kompleks Rawatan Air Sungai Segget bernilai RM200 juta di Wadi Hana, siap dibina dan beroperasi pada 2016.

“Sungai Segget sangat tercemar sejak 1970-an berikutan semua saliran daripada kumbahan najis sehinggalah ke buangan industri di tengah bandar raya termasuk minyak, sisa makanan dan sampah dialirkan terus ke dalam sungai berkenaan.

“Proses pencemaran selama berpuluh-puluh tahun menyebabkan Sungai Segget sangat sinonim dengan imej sungai terkotor, busuk dan sentiasa berada dalam kategori lima, sungai paling tercemar di negara ini.

“Sejak awal tahun ini, selepas semua sistem saliran dan kumbahan di sekeliling Sungai Segget diperbetulkan dan dirawat di Kompleks Rawatan Air Sungai Segget sebelum disalirkan semula ke sungai berkenaan, kesannya sudah dapat dilihat.

-Advertisement-

“Ia kini kembali jernih, bersih dan tidak lagi berbau,” katanya ketika ditemui.

Kelmarin, gambar Sungai Segget yang kembali jernih dan bersih selepas lebih 50 tahun, tular di media sosial sehingga mendapat pujian dan ucapan tahniah netizen.

Sungai Segget yang sepanjang 3.4 kilometer dan mengalir di tengah-tengah bandar raya Johor Bahru itu sememangnya menjadi ikon utama bagi rakyat Johor sejak 1855.

Sama seperti Sungai Klang yang begitu penting bagi Kuala Lumpur, sungai berkenaan adalah punca pembentukan ruang ekonomi di sepanjang Jalan Wong Ah Fook dan keseluruhan pusat bandar raya yang kekal sehingga kini.

Abd Halim yang juga Pengurus Projek Landskap Sungai Segget dan Menaik taraf Jalan Wong Ah Fook berkata, projek pengindahan dan membina landskap di sekitar Sungai Segget yang juga fasa akhir keseluruhan projek pengindahan di situ sudah siap sebanyak 35 peratus dan dijangka siap sepenuhnya Ogos ini.

Katanya, ia bakal menukarkan wajah pusat bandar raya Johor Bahru sebagai sebuah pusat bagi aktiviti rekreasi, kebudayaan dan komersial yang baharu bagi manfaat rakyat, setaraf bandar raya terkemuka dunia.

“Pengindahan Sungai Segget dibahagikan kepada tiga zon iaitu Warisan dan Sejarah, Seni dan Budaya serta Santai dan Ceria.

“Reka bentuk konsep Zon Sejarah dan Warisan mempromosi serta memperkenalkan kesan sejarah dan warisan Sungai Segget dan elemen asli Johor digabung dengan tema santai keluarga.

“Komponen bagi pengindahan dalam zon ini termasuk Plaza Seaview, pembinaan replika Kapal Bugis dengan ukiran `Prahu Panisi’ selain ukiran ikonik Segget,” katanya. -BERITA HARIAN

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share