Dividen simpanan SSPN 4 peratus

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) mengumumkan agihan dividennya bagi 2020 sebanyak empat peratus.

-Advertisement-

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata agihan ini membabitkan anggaran peruntukan RM201.3 juta yang akan memberi manfaat kepada 4.82 juta pendeposit akaun SSPN.

Katanya, dengan agihan itu, menjadikan jumlah keseluruhan agihan dividen adalah RM856.6 juta sejak SSPN diperkenalkan.

“Agihan ini didorong hasil pulangan bersih pelaburan yang dibuat atas deposit yang diterima oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Tahun 2020 juga menyaksikan PTPTN memperoleh keuntungan pelaburan deposit SSPN berjumlah RM237.42 juta. Prestasi itu menunjukkan peningkatan sebanyak RM32.14 juta iaitu 15.7 peratus berbanding RM205.28 juta pada 2019,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

-Advertisement-

Katanya, kejayaan itu hasil kecekapan PTPTN dalam pelaksanaan kaedah pelaburan patuh syariah jangka pendek dan panjang di pasaran wang tempatan yang melindungi prinsipal di samping memberikan pulangan atau keuntungan tinggi dan positif.

Selain itu, Noraini berkata, deposit SSPN bagi tahun lalu berjumlah RM1.99 bilion, sekali gus mencatatkan rekod baharu tertinggi sepanjang penubuhan PTPTN.

“Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM623.82 juta atau 45.6 peratus berbanding RM1.37 bilion pada 2019. Ini menjadikan jumlah keseluruhan deposit SSPN sehingga 31 Disember lalu adalah RM7.88 bilion,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 436,101 akaun baharu SSPN berjaya dibuka pada 2020, satu kejayaan memberangsangkan berbanding sasaran tahunan sebanyak 400,000 akaun.

“Sehingga 31 Disember lalu, sebanyak 4.82 juta akaun dibuka sejak SSPN diperkenalkan pada 2004,” katanya.

Katanya, pencapaian cemerlang PTPTN ini wajar diberi pujian dalam memartabatkan pembangunan modal insan, disamping menjadikan agensi itu terus komited dalam usaha membudayakan penabungan dalam kalangan rakyat.-BH

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •