Mahkamah benarkan tangguh pelarian dihantar pulang ke Myanmar

Estimate Reading Time: 2 minutes

LUMUT: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penangguhan sementara terhadap keputusan Putrajaya menghantar pulang 1,200 warga Myanmar yang sudah dibawa ke pangkalan tentera laut Lumut.

-Advertisement-

Kumpulan itu dijadualkan pulang dengan menaiki kapal tentera laut Myanmar hari ini dari pangkalan tentera laut Lumut.

Bagaimanapun, mereka sudah diberikan penangguhan sekurang-kurangnya sehingga 10 pagi esok untuk pendengaran penangguhan mereka.

Kumpulan hak asasi manusia, Amnesty International dan Asylum Access memohon perintah mahkamah untuk menghentikan pengusiran itu, dengan berkata tiga orang berdaftar dengan UNHCR dan 17 kanak-kanak mempunyai sekurang-kurangnya seorang ibu atau bapa di Malaysia dalam kalangan mereka yang akan diusir itu.

Terdahulu, Malaysia memulakan penghantaran pencari suaka dan tahanan lain dari Myanmar ke pelabuhan, dengan kapal tentera laut sedang menunggu untuk membawa mereka pulang ke negara itu, walaupun kumpulan hak asasi manusia berusaha menghentikan pengusiran itu di mahkamah, atas alasan ia merisikokan nyawa mereka.

Seramai 1,200 tahanan dijadualkan pulang dengan tiga kapal tentera laut yang dihantar Myanmar, yang melakukan rampasan kuasa 1 Feb lalu dan mencetuskan demonstrasi oleh aktivis pro-demokrasi sejak itu.

Kumpulan pelarian berkata, pencari suaka daripada minoriti Chin, Kachin dan komuniti Islam bukan Rohingya melarikan diri daripada konflik serta penindasan di negara itu, antara mereka yang akan dihantar pulang ke sana.

-Advertisement-

Malaysia dilaporkan berkata, ia tidak akan menghantar pulang etnik Rohingya Islam atau pelarian yang berdaftar dengan UNHCR.

Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berkata, sekurang-kurangnya enam orang berdaftar dengannya yang turut akan dihantar pulang dan jumlah itu mungkin lebih ramai. Ia tidak mempunyai akses ke atas kumpulan itu.

Bas dan lori Jabatan Imigresen dilihat membawa tahanan ke pelabuhan di Lumut, di mana kapal Myanmar berlabuh di sebuah pangkalan tentera laut.

“Jika Malaysia bertegas menghantar pulang 1,200 individu itu, ia akan bertanggungjawab meletakkan mereka dalam risiko terhadap penindasan, keganasan malah kematian,” kata Pengarah Amnesty Malaysia, Katrina Maliamauv semalam.

Kebimbangan juga terus timbul berhubung penghantaran pulang pencari suaka tidak berdaftar kerana UNHCR tidak dibenarkan menemubual tahanan lebih setahun bagi mengesahkan status mereka, ketika pihak berkuasa melakukan serbuan ke atas pendatang asing tanpa izin di Malaysia.

Amerika Syarikat dan kedutaan negara barat lain cuba menghalang Malaysia meneruskan pengusiran itu serta menggesa Putrajaya membenarkan UNHCR menemubual tahanan.

Mereka juga berkata, Malaysia menghalalkan kerajaan tentera melalui kerjasama dengan junta.- FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share