Sorok dadah RM4.2 juta bawah tangga rumah

Estimate Reading Time: < 1 minute

PASIR MAS: Siapa sangka sisa anak tangga sebuah rumah yang musnah dalam kebakaran empat tahun lalu, rupa-rupanya dijadikan lokasi untuk menyembunyikan syabu bernilai RM4.2 juta di Lubok Gong, Rantau Panjang, di sini.

-Advertisement-

Dadah tersebut dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 Pengkalan Chepa dalam satu operasi di kawasan itu pada pukul 4 pagi ini.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Hasan Basri Ahmad Safar berkata, bertindak daripada maklumat awam, operasi digerakkan selepas melakukan pemerhatian dan intipan selama 10 jam di kawasan itu.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan enam bungkusan hitam yang disembunyikan di bawah tangga yang merupakan sisa tapak rumah terbakar berkenaan.

“Di dalamnya pula terdapat 107 bungkusan plastik merah bertulisan bahasa Cina yang di dalamnya berisi dadah dipercayai jenis syabu seberat satu kilogram setiap satu.

-Advertisement-

“Kesemua rampasan dadah itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini hari ini.

Hasan Basri berkata, beliau dimaklumkan oleh Jabatan Siasatan Narkotik bahawa syabu sebanyak itu mampu menampung keperluan sehingga seramai 107,000 penagih jika terlepas ke pasaran.

“Sasatan awal mendapati dadah ini dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan dan luar Kelantan bergantung kepada permintaan,” katanya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, PGA Batalion 8 menangkap dua lelaki dan merampas 171 biji pil kuda daripada mereka selepas menahan sebuah kereta jenis Toyata Estima di Kampung Kubang Puyu, di sini pukul 4.30 petang semalam.

Katanya, saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Methamphentamine.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan bernilai RM61,710,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share