Perkasa Op Cantas cegah gengster

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengembalikan dan memperkasa Op Cantas Khas bagi memburu anggota kumpulan gengster yang dikesan aktif di negara ini.

-Advertisement-

Hanya dengan langkah itu, jenayah gengsterisme yang setakat ini merekodkan sebanyak 72 kumpulan kongsi gelap dapat diselesaikan selain mengelakkan ancaman terhadap masyarakat dan kedaulatan negara.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, kerajaan perlu menjalankan penguatkuasaan undang-undang yang ketat terhadap mana-mana individu atau kumpulan disyaki terlibat dalam
jenayah berkenaan kerana gengsterisme bukan perkara yang boleh diambil mudah.

“Pihak berkuasa jangan teragak-agak dalam mengambil keputusan. Kita perlu menggunakan apa sahaja cara yang boleh untuk mencegah kegiatan ini termasuklah meletakkan mereka di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

“Jumlah gengster dari tahun ke tahun semakin bertambah bermula dengan merekrut anak-anak muda. Kita tidak mahu perkara ini berlaku kerana mereka masih ada ruang dan peluang untuk mencari
pendapatan dengan sumber halal,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

-Advertisement-

Akhbar ini melaporkan, sejak 2013 Kementerian Dalam Negeri melalui risikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mewartakan 72 kumpulan kongsi gelap dan gengster.

Kegiatan itu dikhuatiri meningkat kerana kebelakangan ini aktiviti gengsterisme terlalu agresif apabila kumpulan berkenaan secara terangterangan bergaduh bagi merebut kawasan jajahan.

Menurut rekod tangkapan di bawah POCA yang dikeluarkan bermula 2016 sehingga 2020, sebanyak 938 kes direkodkan. Mengikut pecahan, kaum India kekal lima tahun berturut-turut sebagai kes jenayah gengster paling tinggi dengan 342 kes diikuti Cina (97) dan Melayu (30).

Musa berkata, masalah gengterisme tidak semestinya tertumpu kepada kaum tertentu kerana boleh melibatkan sesiapa sahaja.

Beliau tidak menafikan data yang diperoleh secara jelas menunjukkan kaum India kebanyakannya terlibat dalam kancah berkenaan.

“Tidak usah lagi kita melewat-lewatkan tindakan ini. Langkah awal adalah perlu sebelum menjadi lebih serius pada masa akan datang. Pendidikan dan kesedaran amat penting,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share