62,485 pelajar ditawar lanjut pengajian di politeknik, kolej komuniti sesi 2025/2026

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA BHARU: Seramai 62,485 pelajar ditawarkan tempat pengajian di Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) di seluruh negara bagi sesi akademik 2025/2026.

-Advertisement-

Pengarah Kanan (Akademik) Jabatan Pendidikan POLYCC, Dr Mohd Daud Isa berkata jumlah itu merangkumi calon yang memohon melalui UPUOnline bagi program peringkat sijil dan diploma.

Beliau berkata kemasukan pelajar itu melibatkan 131 kursus dan program yang ditawarkan di 36 politeknik serta 106 kolej komuniti di seluruh negara.

“Pendaftaran pelajar akan dilakukan secara dalam talian pada 11 Julai depan, manakala pendaftaran fizikal dijadualkan pada 27 Julai,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutupan Kem Tahunan RELASIS Politeknik Malaysia ke-7 di Dewan Jubli Perak, Politeknik Kota Bharu, di sini hari ini.

Mohd Daud berkata pengambilan pelajar dalam pelbagai bidang kemahiran dan teknikal itu selaras dengan keperluan pasaran kerja semasa serta bertujuan memperkukuh pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) negara.

“Setakat ini, POLYCC berjaya merekodkan kadar kebolehpasaran graduan melebihi 95 peratus,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Daud berkata tahun ini pihaknya menerima pertambahan kemasukan sebanyak 800 pelajar menerusi Program Asasi Teknologi Kejuruteraan, berbanding 500 tahun lepas.

-Advertisement-

Mohd Daud berkata pertambahan itu adalah persediaan untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyambung pengajian ke rangkaian Universiti Teknikal Malaysia.

“Tahun lepas, program asasi ini hanya ditawarkan di lima politeknik. Namun pada tahun ini, kita perluaskan kepada 10 politeknik di seluruh negara,” katanya.

Mohd Daud turut memaklumkan Politeknik Jeli kini menawarkan program baharu iaitu Diploma Teknologi Hijau (Elektrik), menjadikannya politeknik kedua selepas Politeknik Port Dickson yang menawarkan kursus itu.

“Di Politeknik Jeli, kita menyasarkan pengambilan 60 pelajar untuk kumpulan pertama bagi tahun ini,” katanya.

Mohd Daud berkata kadar kebolehpasaran graduan bagi program sama di Politeknik Port Dickson sebelum ini hampir mencecah 100 peratus.

– BERNAMA
-BeritaHarian