IPOH: Lapan individu warganegara China yang tiba di Johor Bahru, Johor dari Singapura semalam kini diletakkan di sebuah hotel dengan pemantauan dan kawalan rapi Kementerian Kesihatan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata mereka merupakan rakan seperjalanan seorang lelaki warganegara China berusia 66 tahun dari Wuhan yang tiba di Singapura pada 20 Jan lepas sebelum disahkan positif novel koronavirus import.
Menurut Lee, semua 8 individu terbabit perlu diasingkan sekurang-kurangnya 1 minggu bagi mengenal pasti sekiranya mempunyai simptom koronavirus.
“Mereka bukan pesakit tetapi mereka dipantau untuk dikuarantin bagi melihat sama ada terdapat simptom atau tidak kerana mereka ada hubungan dengan pesakit yang positif koronavirus. Tetapi buat masa ini, mereka tidak ada (simptom),” katanya kepada pemberita selepas meninjau ketibaaan penerbangan dari Singapura di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) hari ini.
Dalam pada itu, Lee berkata pihaknya akan mempertingkatkan penggunaan mesin pengimbas suhu badan bagi mengesan virus koronavirus di semua kawasan lapangan terbang dan pintu masuk negara.
“Kita akan mempertingkatkan peralatan untuk buat saringan suhu badan di semua lapangan terbang dan pintu masuk,” katanya. -FMT