SHAH ALAM: Sebuah premis pemprosesan makanan disyaki melepaskan efluen berbuih sehingga menyebabkan air di kawasan Sungai Kecil, Kampung Rinching, Kajang berwarna putih serta berbau.
-Advertisement-
EXCO Selangor, Jamaliah Jamaluddin, berkata Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 79 (1) Enakmen LUAS 1999 yang memperuntukkan denda minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta serta mandatori penjara tidak kurang tiga tahun jika disabitkan.
Maklumat pencemaran itu diterima LUAS sekitar jam 11 pagi, semalam dan pemeriksaan segera dilakukan.
-Advertisement-
“Pemerhatian awal mendapati keadaan air adalah berbuih dan berwarna putih serta berbau di Jambatan Rinching Tengah, Sungai Rinching seterusnya semakan lanjut mendapati pembentukan buih itu adalah hasil daripada water turbulence dalam kawasan parit berhampiran.
“Pensampelan in-situ oleh LUAS di jambatan Tok Tahir bagi beberapa parameter antaranya Chemical Oxygen Demand (COD), Biochemical Oxygen Demand (BOD), Surfactant (Sur) dan Nitrate Oxide (No3) menunjukkan bacaan parameter bagi COD dan BOD adalah tinggi, manakala bacaan bagi Surfactant (Sur) dan Nitrate Oxide (No3) adalah rendah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siasatan diteruskan oleh LUAS, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) ke kawasan perindustrian di Bandar Tasik Kesuma.
“Semakan LUAS mendapati terdapat sebuah premis pemprosesan makanan disyaki melepaskan efluen berbuih dari titik pelepasan akhir ke longkang berhampiran berdasarkan kesan buih berwarna putih yang dijumpai di sump luar kawasan premis dan berbau seakan-akan rebusan cendawan.
“LUAS telah segera mengarahkan premis berkenaan untuk menghentikan aktiviti yang menggunakan air dan pelepasan efluen,” katanya.
Semakan lanjut di kawasan terbabit mendapati keadaan air sungai kembali normal dan tiada kesan berwarna putih dan berbuih selepas pelepasan efluen dihentikan.
“Anggaran jarak lokasi punca pencemaran berkenaan ke Loji Rawatan Air (LRA) terdekat iaitu LRA Semenyih adalah 15 kilometer dan dengan tindakan pantas yang diambil berjaya memastikan tiada risiko terhadap operasi loji,” katanya.
-BeritaHarian