Azizulhasni kena ‘berani mati’

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang perlu berani mengambil risiko dalam final acara keirin sekiranya mahu memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024.

-Advertisement-

Bekas pelumba kebangsaan, Sayuti Zahit berkata Azizulhasni yang meraih perak di Olimpik Tokyo 2020 dan gangsa di Rio 2016 sudah mempunyai pengalaman untuk berdepan perlumbaan berliku dalam acara berkenaan.

Katanya, aksi final nanti akan menjadi misi ‘hidup mati’ buat setiap pelumba dengan siapa yang berani mengambil risiko besar akan menikmati hasil ‘lumayan’.

“Datuk Azizul sudah mempunyai pengalaman yang diperlukan, dia tahu apa yang perlu dilakukan untuk memenangi pingat seperti mana yang dibuktikan di Rio dan Tokyo.

“Dari aspek kekuatan fizikal, dia mungkin kurang sedikit berbanding pelumba utama dari Eropah, jadi dia perlu berlumba dengan bijak.

“Dalam acara keirin, apa jua boleh berlaku. Aksi final akan menjadi misi ‘hidup mati’ untuk setiap pelumba. Jika Datuk Azizul mahu menjadi juara, dia perlu mengambil risiko besar.

“Jika pelumba tidak berani ambil risiko besar, mereka mungkin akan berpuas hati dengan tempat kedua atau ketiga. Risiko besar, ganjarannya juga besar.

-Advertisement-

“Sebagai contoh (Sir) Jason Kenny mengambil risiko pada aksi final Olimpik Tokyo dan dia menang emas biarpun tidak diletakkan sebagai pilihan ketika itu,” kata Sayuti.

Di Olimpik Tokyo, kesilapan taktikal pelumba Australia ketika final acara keirin menyaksikan Kenny melakukan pecutan sejak awal perlumbaan dan meninggalkan jauh pelumba untuk dia membawa pulang emas.

Selain Azizulhasni, Sayuti menyenaraikan pelumba Belanda, Harrie Lavreysen, Matthew Richardson (Australia), Nicholas Paul (Trinidad and Tobago) termasuk dua pelumba Jepun, Shinji Nakano dan Kaiya Ota sebagai antara pilihan di Paris.

Katanya, prestasi pelumba dalam acara pecut individu boleh dijadikan kayu pengukur bagi mencongak pelumba yang berpotensi memenangi emas dalam keirin.

Acara pecut individu lelaki akan bermula 7 Ogos ini manakala keirin akan berlangsung empat hari kemudian.

-BeritaHarian