SARAWAK kini berada pada fasa penting dalam pengurusan sumber tenaga dengan Petroleum Sarawak Berhad (Petros), sebagai entiti milik kerajaan negeri melaksanakan peranan semakin dominan dalam industri minyak dan gas negeri itu.
-Advertisement-
Sejak penubuhannya pada Julai 2017, Petros kini berada dalam kedudukan strategik untuk memimpin pengurusan sumber minyak dan gas di Sarawak.
Petros juga menunjukkan komitmen tinggi dalam memenuhi aspirasi negeri untuk lebih berdikari dalam sektor tenaga dan mengoptimumkan manfaat untuk negeri serta rakyatnya.
Namun, PETRONAS dan Petros akan bergerak sebagai rakan kerjasama untuk memastikan kepentingan serta hasil negara dan Sarawak terjamin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi penerangan aktiviti petroleum di Dewan Rakyat, kelmarin menegaskan PETRONAS dan Petros akan bergerak ‘sederap’.
Walaupun Petros berperanan sebagai agregator atau badan penyelaras dalam industri minyak dan gas Sarawak, kelulusan serta obligasi kontraktual, baik domestik mahupun antarabangsa, yang diberikan kepada PETRONAS, akan tetap berkuat kuasa.
Kerjasama ini selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan mengiktiraf Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 sebagai undang-undang Persekutuan.
Dalam konteks ini, Petros berperanan sebagai entiti utama memastikan pengeluaran dan pengurusan gas asli Sarawak berjalan lancar, sejajar matlamat negeri untuk memperkukuhkan ekonomi serta pembangunan sosial melalui pemanfaatan sumber tenaga yang ada.
-Advertisement-
Dengan hak 100 peratus diberikan melalui Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958, Petros memainkan peranan penting dalam membangunkan industri minyak dan gas Sarawak, termasuk pembabitannya dalam projek penggerudian pertama di Marudi Selatan serta beberapa projek lain.
Kini, Petros berkembang menjadi syarikat minyak dan gas ketiga terbesar di Malaysia dari segi ekuiti dalam pangkalan sumber hidrokarbon.
Kejayaan ini membuka lebih banyak ruang bagi Sarawak untuk mencapai tahap autonomi lebih tinggi dalam sektor tenaga, selain menyediakan peluang baharu bagi rakyat negeri itu.
Bagaimanapun, kerjasama terjalin dengan PETRONAS tetap menjadi aspek amat penting dalam memastikan pengurusan sumber tenaga negara kekal berdaya saing dan mampan.
Pelan Hala Tuju Gas Petros Sarawak yang menyasarkan penciptaan empat hab gas utama di Miri, Bintulu, Samalaju dan Kuching, dijangka mengubah landskap sosioekonomi Sarawak menjelang 2030.
Melalui inisiatif ini, Sarawak berpotensi menjadi sumber utama dalam industri gas negara, sekali gus memberi manfaat besar kepada rakyat dan ekonomi Malaysia.
-BeritaHarian