Polis Johor lumpuhkan 17 sindiket dadah, nilai rampasan RM75j

Estimate Reading Time: < 1 minute

JOHOR BAHRU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor berjaya melumpuhkan 17 sindiket pengedaran dadah dengan menahan 45 ahli sindiket dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

-Advertisement-

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, berkata dalam tempoh Januari hingga bulan lalu juga, pihaknya turut membuat rampasan dadah bernilai RM75.85 juta dengan nilai sitaan pelbagai aset berjumlah RM2.07 juta.

“Bagi tempoh Januari sehingga April lalu, JSJN turut mempamerkan prestasi cemerlang apabila membuat sebanyak 8,598 tangkapan atas pelbagai kesalahan dadah.

“Sejumlah 878.86 kilogram dan 3,643.77 liter dadah berjaya dirampas dalam beberapa siri serbuan dan operasi,” katanya berucap pada Perhimpunan Bulanan Mei 2025 Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Menurut Kumar, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Johor juga merekodkan beberapa kejayaan membanggakan melalui beberapa siri operasi dan tangkapan yang dijalankan.

-Advertisement-

Katanya, elemen JKDNKA yang terdiri daripada Pasukan Polis Marin Wilayah 2, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 2 dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 5 dan 6 berjaya menyelesaikan lapan kes e-waste dengan jumlah rampasan bernilai hampir RM274 juta.

“Pasukan ini turut berjaya menumpaskan 25 kegiatan kontraban berkaitan penyeludupan minuman keras dan rokok dengan nilai rampasan RM3.98 juta serta dua kes penyelewengan minyak bersubsidi membabitkan rampasan bernilai RM172,527,” jelasnya.

Kumar berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) pula sentiasa menjalankan pemantauan rapi terhadap taktik terkini penipuan jenayah siber dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk memanipulasi orang ramai demi mengaut keuntungan.

“Untuk rekod, bagi tempoh Januari sehingga April lalu, data kerugian akibat penipuan ini mencecah RM80 juta. Ini menunjukkan ancaman ini berada di tahap amat membimbangkan.

“Oleh itu, saya menyarankan supaya kita semua sentiasa berwaspada dan semak kesahihan maklumat sebelum berkongsi data peribadi atau membuat transaksi dalam urusan seharian. Jadilah masyarakat yang bijak dalam membuat keputusan,” katanya.
-BeritaHarian