KUALA LUMPUR: Jaguh larian denai negara, Aqmal Adzmi, sekali lagi membuktikan keunggulannya apabila berjaya mempertahankan kejuaraan dalam kategori 100 kilometer (km) lelaki pada Janda Baik Ultra 2025 di Bentong yang berlangsung hujung minggu lalu.
-Advertisement-
Aqmal menamatkan perlumbaan mencabar itu dengan catatan masa 18 jam, 33 minit dan 54 saat (18:33:54) untuk menewaskan pencabar utama dari Jepun, Takio Fukumoto yang menamatkan saingan dengan masa 18:57:53.
Tempat ketiga menjadi milik pelari tempatan, Zulhusni Ibrahim yang mencatat masa 19:55:14.
“Perlumbaan tahun ini jauh lebih mencabar dengan tambahan jarak, ketinggian dan laluan yang licin akibat hujan.
“Namun saya menikmati setiap saat dan menang sekali lagi di kampung halaman menjadikannya lebih bermakna,” kata Aqmal yang berasal dari Bentong.
Mempunyai keluarga yang menetap di Janda Baik, Aqmal menganggap perlumbaan ini sebagai sesuatu yang bersifat peribadi, apatah lagi melihat kampungnya menjadi tuan rumah kepada acara lasak berprestij yang menonjolkan keindahan semula jadi kawasan tersebut.
“Saya bangga kampung saya ada acara seperti ini. Ia benar-benar mengetengahkan apa yang Janda Baik tawarkan – kehijauan hutan, pemandangan menakjubkan, dan laluan teknikal yang mencabar. Ramai pelari kata ini mungkin antara perlumbaan paling sukar di Malaysia, dan saya setuju,” katanya.
-Advertisement-
Aqmal turut mendedahkan ini hanyalah perlumbaan keduanya tahun ini dalam usaha mengelak kecederaan menjelang penampilan keduanya bersama skuad negara ke Kejohanan Dunia Larian Gunung dan Denai di Sepanyol, September ini.
Dalam kategori wanita 100km, pelari Malaysia Poo Lai Kuen muncul juara selepas mencatat masa 25:55:01, menewaskan Long Fengju dari China (26:57:44) dan Nor Shahirah Nasir (29:41:18).
Acara dua hari yang berpusat di Cherengin Hills Convention and Spa Resort, Janda Baik itu turut menyaksikan persaingan hebat dalam kategori 75km, 50km, 30km, 14km dan 5km yang merangkumi gabungan pemandangan indah, pendakian mencabar serta bentuk muka bumi yang tidak menentu.
Antara peserta yang mencuri tumpuan termasuk Yusof Abdul Manan (13:45:29) dan Chiew Mei Theng (18:56:48) dalam kategori 75km, serta Khairulamirin Kamarudin (7:31:57) dan Jenny Lem (10:56:41) bagi kategori 50km.
Janda Baik Ultra 2025 turut menawarkan mata kelayakan untuk International Trail Running Association (ITRA) dan Ultra-Trail du Mont-Blanc (UTMB) Index – elemen penting bagi kedudukan global dan kelayakan ke perlumbaan elit antarabangsa.
-BeritaHarian