‘Edisi Siasat’, rakyat jadi ejen pantau salah laku penjawat awam

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Rakyat hari ini mampu menjadi ejen pemantau setiap salah laku membabitkan kakitangan awam, termasuklah di platform media sosial dan aplikasi pemesejan seperti yang dilakukan Telegram ‘Edisi Siasat’.

-Advertisement-

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, berkata meskipun sumber ini tidak diklasifikasikan sebagai saluran rasmi, ia tidak boleh diabaikan, apatah lagi jika mengandungi maklumat yang munasabah dan berasaskan kepentingan awam.

Justeru, beliau bersetuju dengan kenyataan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), yang menekankan bahawa agensi penguat kuasa tidak seharusnya melihat pendedahan sebagai ancaman atau musuh.

“Setiap pendedahan, walaupun bersifat viral atau tidak rasmi, wajar dijadikan pencetus kepada siasatan awal demi menjamin ketelusan dan kebertanggungjawaban institusi penguat kuasa.

“EAIC dan agensi penyiasat lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memanfaatkan kuasa siasatan proaktif yang diperuntukkan oleh undang-undang bagi memastikan tidak ada elemen penyalahgunaan kuasa yang terlepas pandang.

“Siasatan yang adil dan menyeluruh penting untuk membersihkan nama baik agensi jika tuduhan tidak berasas dan dalam masa yang sama memastikan tindakan tegas diambil sekiranya dakwaan terbukti benar,” katanya mengulas mengenai kenyataan Pengerusi EAIC, Tan Sri Dr Ismail Bakar.

BH hari ini melaporkan, Ismail mengingatkan agensi penguat kuasa tidak melihat pendedahan dibuat mengenai salah laku termasuk oleh saluran tidak rasmi seperti melalui Telegram sebagai ancaman atau musuh.

-Advertisement-

Pendedahan dibuat sepatutnya dilihat sebagai peluang kepada agensi penguat kuasa terbabit untuk memperkukuh integriti dan keyakinan rakyat.

Memberi contoh, saluran Telegram ‘Edisi Siasat’ yang banyak membuat pendedahan mengenai agensi penguat kuasa, beliau berkata EAIC memandang serius sebarang dakwaan membabitkan salah laku atau penyalahgunaan kuasa.

Tegas beliau, EAIC memandang serius sebarang dakwaan salah laku atau penyalahgunaan kuasa, serta akan bertindak ke atas aduan tidak kiralah sama ada ia dibuat melalui saluran rasmi mahupun tidak rasmi seperti ‘Edisi Siasat’.

Mengulas lanjut, Jais berkata, kerjasama orang ramai sebagai pemberi maklumat perlu diraikan, bukan ditakuti melalui jaminan maklumat yang disalurkan akan ditangani secara profesional, sulit dan beretika.

“MCW percaya bahawa budaya menegur demi memperbaiki sistem dan struktur negara adalah tanda keprihatinan rakyat, bukan pemberontakan.

“Maka, adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan setiap tuduhan diteliti secara objektif dan berasaskan bukti dan tidak disambut dengan sikap defensif atau ugutan.

“MCW juga menyeru agar EAIC dan SPRM memperkukuh saluran komunikasi terbuka dengan masyarakat, termasuk membina mekanisme semak dan imbang bagi menilai semua laporan yang tular secara sistematik dan telus,” katanya.
-BeritaHarian