Galeri Khas TEROKA PBAKL2025 angkat keagungan karya tempatan, sejarah perbukuan negara

Estimate Reading Time: 3 minutes

KUALA LUMPUR: Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bermula hari ini hingga 1 Jun depan buat julung kalinya menampilkan Galeri Khas TEROKA kepada pengunjung.

-Advertisement-

Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd Khair Ngadiron, berkata Galeri Khas TEROKA adalah elemen baharu bagi memberi penghormatan kepada keagungan karya tempatan serta keunikan sejarah perbukuan negara.

Galeri ini menampilkan koleksi karya-karya terkenal daripada penulis tempatan, termasuk karya klasik hingga karya moden, yang mencerminkan keberagaman budaya, sejarah, dan identiti Malaysia.

“Pengunjung dapat melihat dengan lebih dekat bagaimana industri perbukuan Malaysia berkembang seiring dengan perubahan zaman, serta menyaksikan pencapaian besar yang dicapai oleh penulis dan penerbit tempatan dalam arena global,” katanya pada Majlis Pembuka Tirai PBAKL Ke-42 2025 hari ini.

Terdahulu, Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan (KPM), Aniza Kamarulzaman hadir merasmikan PBAKL 2025.

Pesta buku terbesar dalam sejarah

PBAKL 2025 menyaksikan penganjuran terbesar dalam sejarah dengan 1,172 reruai dan 258 pempamer mengambil bahagian termasuk 28 pempamer antarabangsa daripada negara ASEAN, Iran, Kerajaan Bersatu (UK), serta Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Lebih 1.9 juta pengunjung dijangka menghadiri PBAKL tahun ini sepanjang 10 hari penganjuran, menjadikan ia antara acara buku paling mendapat sambutan di dunia.

Pesta buku kali ini menampilkan lima astaka khas yang membawa pelbagai segmen agar masyarakat lebih dekat dengan dunia literasi seperti Pavilion Al-Falah (menghimpunkan 14 agensi agama), Pavilion KPM, Kementerian Perpaduan Negara, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Pavilion Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).

Dalam pada itu, Mohd Khair menyifatkan Baucar Buku Madani yang diumum semasa perasmian PBAKL tahun lalu memberi impak besar terhadap pelaksanaan pesta buku tahun ini.

“Memandangkan PBAKL 2024 yang lalu mendapat sambutan menggalakkan menerusi Baucer Buku Madani, ia memberi impak kepada kelangsungan sambutan penganjuran PBAKL tahun ini.

“Kejayaan program ini jelas terlihat daripada sambutan hangat dan jumlah penerima yang tinggi, memperlihatkan komitmen kerajaan dalam memperkasa budaya membaca di kalangan generasi muda,” katanya.

Justeru, Mohd Khair berharap dengan tema ‘Buku: Membaca, Memimpin’ PBAKL 2025, ia dapat terus memperkukuh peranan buku dalam kehidupan masyarakat.

-Advertisement-

“Kami berhasrat untuk memupuk budaya membaca yang lebih mendalam, disamping menyediakan platform bagi perbincangan intelektual, pembangunan industri perbukuan, serta kolaborasi antarabangsa,” katanya.

PBAKL bukan sekadar acara tahunan, medan penting perkukuh budaya membaca

Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Kementerian Pendidikan (KPM), Aniza Kamarulzaman berkata PBAKL disifatkan bukan hanya sekadar acara tahunan, tetapi medan penting mengangkat martabat buku selain memperkukuh budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

PBAKL menjadi wadah menyemarakkan ekosistem ilmu pelbagai lapisan masyarakat termasuk guru, penerbit termasuk pemimpin negara.

PBAKL tahun ini menampilkan pelbagai keterujaan baharu termasuk pempamer dari serta dunia, kerjasama antara kementerian, program digital, dan pembabitan aktif sekolah serta komuniti pendidikan dari seluruh negara.

“Tema PBAKL tahun ini iaitu ‘Buku: Membaca dan Memimpin’, amat bererti buat kita semua kerana ia bukan hanya slogan, tetapi seruan strategik untuk memperkukuh budaya membaca sebagai asas pembinaan pemimpin masa depan.

“Sebagai agensi bertanggungjawab terhadap sumber dan teknologi pendidikan, BSTP melihat PBAKL sebagai ruang sinergi antara cetakan dan digital; pendidik dan pengkarya; serta antara pelajar dan pemikir.

“Dalam edisi kali ke-42 ini, kita turut meraikan pembabitan pelbagai kementerian dan rakan strategik bagi mengangkat ekosistem perbukuan.

“Ini jelas merujuk kepada satu pendekatan menyeluruh. Kita juga meraikan usaha memperluas akses, memartabatkan penerbit tempatan dan mendidik generasi celik informasi,” katanya.

PBAKL 2025 yang berlangsung mulai hari ini hingga 1 Jun depan menyaksikan penganjuran terbesar dalam sejarah dengan 1,172 reruai dan 258 pempamer mengambil bahagian termasuk 28 pempamer antarabangsa daripada negara ASEAN, Iran, Kerajaan Bersatu (UK), serta Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Lebih 1.9 juta pengunjung dijangka menghadiri PBAKL tahun ini sepanjang 10 hari penganjuran, menjadikan ia antara acara buku paling mendapat sambutan di dunia.

PBAKL diiktiraf antara 12 festival sastera terbaik dunia oleh portal pelancongan Zicasso berpangkalan di Silicon Valley, Amerika Syarikat (AS).
-BeritaHarian