LHDN terima 328 juta e-invois daripada hampir 35,000 pembayar cukai sejak Ogos 2024

Estimate Reading Time: 2 minutes

GEORGETOWN: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerima 328 juta e-Invois daripada pembayar cukai sehingga semalam sejak sistem itu dilancarkan pada Ogos 2024.

-Advertisement-

Pengarah Bahagian e-Invois Jabatan Operasi Cukai LHDN, Dr Rasyidah Che Rosli, berkata hampir 35,000 pembayar cukai menghantar e-Invois termasuk mereka yang mengambil inisiatif secara sukarela sebelum fasa mandatori masing-masing bermula.

“Ini menunjukkan sambutan positif daripada pembayar cukai di bawah fasa pertama dan mereka yang termasuk dalam fasa kedua serta ketiga yang melaksanakan e-Invois secara sukarela.

“Rekod digital menerusi sistem e-Invois membantu mengelak kehilangan atau tersalah simpan dokumen dan pada masa depan, akan diintegrasikan secara terus ke dalam borang nyata cukai bagi meningkatkan kecekapan dan ketepatan,” katanya pada acara CTOS SME Biz Day 2025 Pulau Pinang di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo dan dihadiri lebih 1,300 peserta termasuk wakil kerajaan, pakar industri dan tokoh korporat ternama.

Dr Rasyidah berkata, LHDN memberikan tempoh kelonggaran selama enam bulan bagi setiap fasa pelaksanaan, khususnya untuk pembayar cukai mengeluarkan e-Invois yang disatukan.

-Advertisement-

Beliau berkata, LHDN turut menyokong proses peralihan ini dengan menyediakan garis panduan dan soalan lazim di laman mikro e-Invois agensi itu.

“LHDN juga menyediakan mekanisme penghantaran e-Invois melalui API (Application Programming Interface) yang disepadukan dengan MyInvois, membolehkan pembayar cukai sama ada membangunkan sistem mereka sendiri atau menggunakan perkhidmatan penyedia teknologi,” katanya.

Pembayar cukai juga boleh menghantar e-Invois secara percuma menerusi Portal MyInvois dan boleh merujuk laman mikro LHDN untuk panduan lanjut.

Pelaksanaan e-Invois bermula 1 Ogos, 2024 bagi syarikat dengan jualan tahunan melebihi RM100 juta. Fasa kedua bermula 1 Januari lalu bagi syarikat dengan jualan tahunan antara RM25 juta hingga RM100 juta.

Pada 5 Jun lalu, LHDN mengumumkan pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan bawah RM500,000 akan dikecualikan daripada sistem e-Invois buat masa ini.

Sementara itu, pelaksanaan untuk mereka yang berpendapatan antara RM1 juta hingga RM5 juta ditangguhkan ke 1 Januari 2026, manakala mereka yang berpendapatan sehingga RM1 juta akan bermula pada 1 Julai 2026.
-BERNAMA
-BeritaHarian